Tuesday, September 7, 2010

Segera laksanakan gaji minimum


(Berikut adalah wawancara bersama Khairy Jamaluddin berhubung isu gaji minimum oleh Utusan Malaysia yang telah disiarkan pada hari ini Rabu, 1 September 2010.)


UTUSAN: Kenapa penetapan gaji minima dilihat begitu mendesak ketika ini?

KHAIRY: Isu ini berkait rapat serta langsung dengan kebajikan rakyat keseluruhan. Bagi Pemuda UMNO juga, isu gaji minima adalah satu isu nasional yang begitu relevan kepada generasi muda kerana mereka mewakili hampir dua per tiga daripada golongan yang bekerja. Dalam desakan ini, kalau kita lihat kepada pola kenaikan dan tahap gaji pekerja tempatan, ia berada pada paras yang rendah. Berdasarkan kajian Bank Dunia, purata kenaikan kadar gaji tahunan bagi sektor domestik dan eksport dari 1994 hingga 2007 hanyalah sekitar 2.6 peratus dan 2.8 peratus sahaja berbanding kadar purata dunia daripada laporan Pejabat Buruh Antarabangsa iaitu pada 3.2 peratus.

Ini bermakna dalam tempoh itu kenaikan gaji pekerja di Malaysia bukan sahaja amat lembab, malah ia juga lebih rendah dari purata antarabangsa. Bahkan, kadar gaji tersebut juga lebih rendah daripada peningkatan produktiviti pekerja sekitar 2.9 peratus bagi tempoh yang sama. Tambahan kepada kenaikan gaji yang amat lembab ini adalah kenaikan harga barang yang meningkat. Jika kita lihat pada kadar kenaikan inflasi rasmi, ia sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat rakyat kebanyakan. Kalau kita tengok kepada kenaikan harga barang-barang perlu pula ia banyak didorong oleh kenaikan secara mendadak.

Namun, dalam membuat perbandingan dengan kadar inflasi yang rasmi, kita masih melihat jurang yang besar antara peningkatan kos sara hidup dengan kadar gaji. Kajian UNICEF menunjukkan bahawa purata kadar inflasi negara dari 1990 hingga 2008 adalah pada tahap empat peratus berbanding kadar kenaikan gaji sekitar 2.6 dan 2.8 peratus sahaja. Apabila kenaikan kadar gaji tidak setaraf dengan inflasi, maka kita akan melihat kuasa membeli pekerja Malaysia dan rakyat jatuh. Apatah lagi maklum balas dan hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Pemuda UMNO mendapati, masih ada operator kilang di negara ini yang ditawarkan gaji RM460.

Ia jauh lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Kita berdepan dengan situasi sebegini yang bukan sahaja berlaku di sektor perkilangan tetapi juga sektor tekstil, perladangan dan banyak sektor lain. Justeru kesimpulannya amalan mengharapkan kuasa pasaran bagi menentukan gaji telah gagal. Isu ini juga bukan hanya berkait dengan ekonomi, tetapi isu moral yang mana kerajaan tidak boleh lagi membiarkan tahap gaji yang begitu rendah.

Apabila kita bercakap tentang pekerja tempatan di sektor perkilangan, rata-rata majoritinya adalah anak-anak muda Melayu. Apa yang dibimbangkan ialah mereka akan meragui dasar kerajaan bagi membantu orang Melayu apabila gaji mereka sendiri berada di tahap yang begitu rendah. Jadi saya melihat perjuangan untuk gaji minimum ini adalah perjuangan untuk moral bagi memastikan tiada rakyat dan pekerja Malaysia yang hidup di dalam kemiskinan. Bukan kerana tiada pekerjaan tetapi kerana gaji mereka berada di bawah paras kemiskinan.

Bagaimana dari sudut kemampuan kerajaan lebih-lebih lagi dalam tempoh ekonomi sukar seperti ketika ini?

Perkara ini tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan kerana di dalam penetapan gaji minimum, bukan kerajaan yang perlu bayar atau menampung perbezaan antara gaji minimum dan gaji yang ditawarkan. Tetapi ini menyentuh mengenai persetujuan kerajaan bagi menimbang cadangan memperkenalkan gaji minimum dengan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi tujuan itu. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini juga memandangkan Model Baru Ekonomi (MBE) akan diperkenalkan pada Oktober ini.

Sekiranya kita serius dengan gaji minimum ini, kita boleh pinda Akta Pekerjaan 1955 dan juga perundangan berkaitan pada sesi Parlimen di penghujung tahun nanti. Selaku seorang Ahli Parlimen, saya sedia sokong dan bantu agar perkara ini dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Isu tuntutan gaji minima ini telah pun dicetuskan oleh MTUC sejak sekian lama dengan cadangan gaji minima RM900 sebulan dan dicampur dengan elaun sara hidup sebanyak RM300, menjadikannya RM1,200. Jika ia dijadikan perundangan sebagai gaji minima maka semua syarikat perlu mematuhinya.

Kita perlu maklum bahawa 90 peratus daripada negara-negara di dunia mempunyai gaji minima. Sedangkan Malaysia hanya mempunyai sistem gaji minima berdasarkan sektor seperti mana peruntukan dan proses yang dinyatakan oleh Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Tetapi malangnya ia tidak meluas dan melibatkan semua sektor di samping pelbagai prosedur dan birokrasi yang perlu dilalui. Malah, undang-undang ini juga sudah lapuk dan tidak dikemaskini sejak sekian lama. Biarpun ada sektor yang membuat ketetapan gaji berdasarkan Perjanjian Kolektif atau Collective Agreement (CA) di antara pihak kesatuan sekerja dan majikan, namun sekali lagi tidak banyak sektor mahupun syarikat-syarikat di sektor berkenaan yang terlibat kerana tidak semuanya mempunyai kesatuan sekerja.

Tidakkah ini membebankan industri kecil dan sederhana (IKS) yang saiz operasinya kecil tetapi perlu membayar gaji yang tinggi kepada pekerja?

Memang tidak dinafikan bakal ada kesan seperti itu. Barangkali kerana itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najin Tun Razak menyebut kita perlu melihat dan menilai sektor-sektor industri sebelum gaji minima dilaksanakan. Dalam isu ini terdapat dua kaedah yang boleh dilaksankan.

Pertamanya melibatkan perlaksanaan secara umum iaitu satu kadar bagi semua. Kaedah kedua ialah berdasarkan sektor terutama bagi sektor yang mempunyai keperluan yang begitu mendesak seperti perkilangan dan perladangan. Di sektor ini ada pekerja yang ditawarkan gaji serendah RM350 sebulan.

Maka sektor-sektor sebegini yang perlu ditangani dahulu. Sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan secara umum, saya berharap agar kita dapat melaksanakan gaji minimum sekurang-kurangnya mengikut sektor, terutama bagi sektor-sektor yang mempunyai kadar gaji yang rendah. Dari segi perlaksanaannya, saya rasa tidak akan membebankan terutama apabila kita melihat gaji rendah di industri perkilangan yang saya sebutkan adalah dari syarikat multi national yang merekodkan keuntungan berbilion ringgit.

Ketika syarikat-syarikat IKS ini merekodkan keuntungan, adalah amat penting bagi mereka terutama dalam isu moral bagi memastikan kebajikan pekerja. Bagi syarikat-syarikat gergasi pula, kita melihat bahawa terdapat 163 buah syarikat atau 17 peratus daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia bedasarkan jualan dan keuntungan masing-masing. Melihat kepada sampel syarikat-syarikat yang menyertai program promosi pelaburan Malaysia GEMS 2010 pula, purata pulangan bagi ekuiti mereka adalah setinggi 18 peratus dan ada yang mencecah lebih 30 peratus.

Adakah penetapan gaji minimum yang tinggi akan menyebabkan berlakunya inflasi dan kenaikan harga barang?

Kita membuat kajian di beberapa negara dan mendapati bahawa perlaksanaan gaji minimum akan menyebabkan harga barang meningkat sedikit. Tetapi tidaklah mengakibatkan tekanan dan peningkatan inflasi yang tinggi atau teruk. Malah, kajian Pejabat Buruh Antarabangsa juga menyimpulkan bahawa harga barang yang melonjak tidak berlaku pada negara-negara yang memperkenalkan gaji minimum. Jika ada pun peningkatan harga barang, ianya akan dapat ditampung dan ditangani oleh pertambahan gaji.

Bagaimana pula dengan jaminan pekerjaan kepada golongan bawahan?

Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan penetapan gaji minima akan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. Sebaliknya saya melihat apa yang berlaku adalah peningkatan persaingan dan produktiviti pekerja. Cuma pihak majikan kena ubah pemikiran bahawa dengan tidak melaksanakan gaji minima mereka akan dapat menjimatkan kos pengeluaran.

Mereka tidak melihat bahawa jika majikan membayar gaji minima yang lebih tinggi bersesuaian dengan kos sara hidup pekerja, maka pekerja akan lebih bermotivasi dan produktiviti mereka akan meningkat.

Adakah penetapan gaji minima ini akan memberi kesan dalam isu lambakan pekerja asing?

Dalam perkara ini, Pemuda BN mengharapkan gaji minimum yang lebih tinggi dapat mengurangkan kecenderungan majikan menggajikan pekerja asing yang tidak sah.

Dalam pada itu, fenomena di banyak kilang juga, pihak majikan sanggup menggajikan pekerja asing sekalipun gaji yang ditawarkan lebih tinggi daripada pekerja tempatan. Saya melihat ini suatu amalan diskriminasi yang menganaktirikan pekerja tempatan.

Dalam kita berharap kerajaan melaksanakan gaji minimum, kita juga menaruh harapan agar satu dasar dan tindakan dapat digarap bersama bagi menangani isu pekerja asing melalui peningkatan penguatkuasaan yang lebih ketat.

Isu ini sudah menjangkau hampir 20 tahun lamanya. Apa sebenarnya yang menghalang kerajaan daripada melaksanakannya?

Saya melihat ia mungkin berkait dengan pendekatan atau pemikiran pembuat dasar sebelum ini yang mempunyai kepercayaan kepada kuasa pasaran atau market forces bagi menetapkan kadar gaji. Tetapi hari ini kita menyedari bahawa pada masa kini terdapat 1.3 juta orang atau 34 peratus pekerja mendapat gaji RM700 sebulan dan ke bawah yang mana lebih rendah daripada PGK Semenanjung iaitu sebanyak RM720.

Isu ini juga mendesak ketika ini kerana ia bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadi negara sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi. Ia selaras dengan MBE yang mana pendapatan per kapita rakyat dijangka mencecah AS$15,000 (RM49,500) pada 2020. Tetapi jika kita tidak memberi perhatian kepada gaji minimum iaitu gaji bagi rakyat kebanyakan yang berpendapatan terendah, akhirnya sasaran per kapita ini tidak akan dinikmati oleh mereka.

Akibatnya orang kaya akan menjadi lebih kaya dan orang miskin akan jadi lebih miskin. Jadi saya harap bagi memastikan keadilan sosial, kita akan dapat menawarkan gaji minimum dan perkara ini saya bangkitkan sebelum kerajaan memperkenalkan perincian MBE pada bulan Oktober nanti. Dengan harapan soal gaji minimum ini dimasukkan ke dalam MBE tersebut.

Sekiranya tidak, kita akan melihat berlakunya ketidakseimbangan dari sudut pendapatan dan jurang pendapatan yang amat ketara antara mereka yang berada atau berpendapatan tinggi dengan mereka yang berpendapatan rendah.

No comments: