Sunday, August 22, 2010

Pemuda UMNO Prihatin Kenaikan Harga Barang






Pergerakan Pemuda UMNO (Pemuda UMNO) amat perihatin dengan tren kenaikan harga barangan yang kini sudah menjadi suatu yang sinonim dengan musim perayaan di negara kita. Senario kenaikan harga ini terbukti apabila media melaporkan dua insiden kenaikan harga melibatkan ayam dan juga bawang putih yang mana menyaksikan kenaikan antara 30 sen sehingga RM1.50 sekilogram bagi ayam dan juga lonjakan mendadak daripada lingkungan RM3.00 hingga RM3.50 sekilogram bagi bawang putih.


Berkisar dengan isu ayam, Pemuda UMNO berasa kesal dengan sikap pembekal dan pemborong yang mengambil peluang untuk menjana keuntungan lebih serta tidak mengendahkan nasihat YAB Perdana Menteri, Dato’Sri Mohd Najib Tun Razak yang mengingatkan golongan peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang tatakala bulan Ramadhan ini.


Tindakan sebegini bukan sahaja membebankan pengguna malahan memberi maklum balas pasaran yang negatif terhadap keputusan Kerajaan untuk memansuhkan lesen ayam bermula 15 Julai lepas. Ini kerana golongan pengguna, terutama sekali mereka yang tidak mempunyai peluang dan kuasa memilih oleh kerana lokasi atau pun tindakan peniaga yang berpakat, pastinya akan tertindas dan teraniaya.


Sehubungan itu Pemuda UMNO mengecam sebarang amalan pengambilan untung berlebihan atau mencatut dengan menaikkan harga barang yang tidak berpatutan di kala permintaan tinggi semasa musim perayaan dan dengan itu meminta agar kerajaan dapat menyegerakan perlaksanaan undang-undang anti pencatutan. Ini kerana undang-undang sedemikian beserta pemantauan dan penguatkuasaan yang efektif dan menyeluruh bakal mengekang serta membendung amalan tidak beretika peniaga bukan sahaja di kala musim perayaan namun jika apabila berlaku sebarang pengurangan subsidi seperti subsidi bahan bakar, yang mana sebelum ini menunjukkan kenaikan tinggi barangan yang tidak setimpal dengan unjuran kos pihak peniaga.


Disamping itu, Pemuda UMNO juga gusar dengan peningkatan harga yang mencecah sehingga 143 peratus dan 184 peratus sekilogram bagi bawang putih yang mana menurut Presiden Persatuan Import dan Eksport Barangan Makanan Malaysia adalah disebabkan oleh banjir yang melanda kawasan penanaman bawang putih di Cina seperti Henan dan Shandong. Difahamkan Malaysia mengimport 100 peratus keperluan bawang putih negara dari Cina yang juga pengeluar terbesar dunia dengan menguasai 77 peratus saiz pengeluaran.


Namun demikian, hasil kajian Pemuda UMNO bahawa kenaikan harga bawang putih di pasaran antarabangsa tidak sepenuhnya disebabkan oleh bencana alam banjir di Cina. Ini kerana kenaikan harga ini juga didorongi oleh faktor pengeluaran pengeluaran sebanyak 50 peratus oleh pengusaha dan penanam bawang putih unjuran harga bawang yang rendah pada tahun 2008 serta aktiviti spekulasi pasaran yang membuat taruhan dagangan pada komoditi bawang putih.


Sehubungan dengan itu, disamping mengambil maklum akan penjelasan yang diberikan oleh Persatuan Pengimport dan Pengeksport Barangan Makanan Malaysia, Pemuda UMNO juga berharap agar pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dapat mencari jalan untuk mengurang dan mengekang risiko kenaikan harga yang tidak berasaskan kepada pasaran sebenar seperti kegiatan spekulasi melalui proses rundingan pukal jangka panjang ataupun kaedah lain yang dapat membendung gejala ini.


Disamping itu juga, Pemuda UMNO meminta pihak berkuasa dan juga orang ramai agar dapat meningkatkan usaha pemantauan bersama bagi mengelakkan aktiviti pencatutan menerusi kenaikan harga dengan tinggi atau tidak berpatutan mahupun sebarang amalan penyorokan barangan.

No comments: