Sunday, August 22, 2010

Kenyataan Pemuda BN Berhubung Kenyataan Berbaur Perkauman Oleh Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra

Source: Rembau Dot Net




Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (Pemuda BN) memandang serius dan mengecam keras kenyataan berbaur perkauman serta menghina yang didakwa telah diucapkan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai Jaya, Johor pada 12 Ogos lalu.


Ucapan beliau yang dilaporkan menyebut bahawa pelajar berbangsa Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke negara Cina disamping menyamakan gelang keagamaan agama Hindu yang dipakai oleh pelajar berbangsa India seperti rantai anjing adalah amat jijik dan begitu menonjolkan kejahilan beliau berhubung isu kewarganegaraan serta aspek ritual agama-agama lain di negara ini.


Bahkan, amat memeranjat dan memilukan sekali kerana semua itu diucapkan di hadapan murid-murid pelbagai bangsa semasa perhimpunan sekolah bersempena perayaan menyambut bulan kemerdekaan negara. Apakah beliau langsung tidak memikirkan perasaan para pelajar, terutama berbangsa Cina dan India, yang mengumandangkan lirik “Negaraku, Tanah tumpahnya darahku” semasa menyanyikan lagu kebangsaan pada majlis tersebut namun disajikan dengan ungkapan umpama menghina dan menghalau keluar dari negara ini?


Oleh itu, Pemuda BN berpendapat bahawa insiden ini, yang telah mengundang 17 laporan polis setakat ini, haruslah disiasat sepenuhnya dan sekiranya benar terjadi maka beliau hendaklah di dakwa bagi satu hukuman yang keras, di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau seumpamanya, kerana ia langsung tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat majmuk di negara ini.


Pemuda BN juga menyeru supaya Kerajaan tidak memandang remeh tentang perkara ini dan sekiranya benar ia berlaku maka suatu hukuman yang keras perlu dilaksanakan sebagai suatu pengajaran serta isyarat tegas bahawa mana-mana tindakan yang tidak selari dan sejajar dengan gagasan 1Malaysia, yang memupuk semangat perpaduan nasional, haruslah ditangani dan diambil tindakan yang sewajarnya.


Insiden ini, yang melibatkan seorang ketua pentadbir sebuah insititusi pendidikan, mahupun kes terdahulu yang membabitkan seorang bekas Pegawai Khas kepada YAB Perdana Menteri menampakkan bahawa isu perkauman adalah suatu permasalahan sistemik yang bukan sahaja wujud bahkan menular di dalam masyarakat majmuk di negara kita ini dan betapa amat mudah sekali bagi mana-mana pihak untuk terjebak di dalam apa jua provokasi mahupun konflik berbaur perkauman.


Sehubungan itu, disamping menekankan aspek punitif bagi sebarang insiden yang disabitkan kesalahannya, Pemuda BN juga menyeru agar Kerajaan dapat mencari jalan bagi mempertingkatkan lagi penyemaian dan penyuburan semangat serta nilai patriotisme dan perpaduan di kalangan rakyat disamping menginstitusikan usaha-usaha tersebut, terutama di dalam aspek penilaian dan kenaikan pangkat kakitangan Kerajaan bagi mengelakkan berulangnya insiden yang melibatkan seorang pegawai kanan Kerajaan, yang berperanan besar di dalam urus tadbir sebuah sekolah, seperti mana yang berlaku di Kulai Jaya, Johor ini.


Umum mengetahui bahawa isu perkauman adalah aspek dua hala yang bukan sahaja membabitkan kenyataan atau tindakan dari bangsa Melayu berhubung Bukan Melayu, bahkan begitu juga sebaliknya. Sehubungan dengan itu Pemuda BN menyeru semua pihak untuk bersifat waspada dan menghindarkan diri daripada mudah terjerumus ke kancah polemik dan konflik perkauman disamping kita semua bersama mencari titik penyelesaiannya. Inilah dianya cabaran 1Malaysia.

No comments: