Friday, September 11, 2009

Khairy mahu Pemuda jaga sensitiviti

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Sayap Pemuda komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menjaga perasaan serta sensitiviti kaum lain dalam setiap tindakan.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai sebuah parti yang disertai pelbagai kaum, mereka mempunyai kesefahaman di antara satu sama lain.

''Kadang-kadang kita terlupa mungkin semasa ingin mempertahankan kepentingan agama dan bangsa sendiri, kita tidak sedar tindakan kita itu membuat bangsa lain terluka hati.

''Membangkitkan isu-isu sensitif yang mungkin boleh buat pihak lain terguris hati perlu dielakkan supaya permuafakatan di antara parti komponen dapat dikekalkan,'' katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Pemuda MIC di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin.

Mengulas lanjut, Khairy berharap sebarang konflik yang timbul di antara sayap Pemuda BN dapat diselesaikan mengikut saluran dalaman.

''Andai terdapat masalah, saya seru atas semangat BN, kita selesaikan secara rundingan supaya maruah parti kita ini sentiasa dipandang tinggi oleh rakyat,'' jelasnya.

Beliau turut menghargai majlis berbuka puasa anjuran Pemuda MIC itu kerana ia lambang penghormatan kepada UMNO dan ahli-ahli komponen BN lain yang beragama Islam.

Jelasnya, apa yang dilakukan oleh MIC itu ternyata menyahut seruan 1Malaysia yang ingin dilihat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Pemuda BN perlu menjadi pemangkin kejayaan konsep 1Malaysia, kita jangan melihat ia hanya sebagai satu konsep retorik semata-mata,'' katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO.

(Source: Utusan Malaysia)

No comments: