Bersempena dengan genapnya enam puluh tahun penubuhan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang jatuh pada hari ini, saya dan seluruh kepimpinan Pemuda UMNO peringkat nasional dan negeri mengucapkan salam perjuangan dan selamat menyambut ulang tahun pergerakan kita yang ke enam puluh.
Bertitik tolak daripada penubuhan rasminya pada 26 Ogos 1949, dengan persidangan wakil-wakil UMNO dari seluruh bahagian beserta wakil-wakil pemuda bagi membincangkan hala tuju dan masa depan peranan pemuda, organisasi dan institusi kita telah mengharungi helaian sejarah dari era pra kemerdekaan hingga ke pasca kemerdekaaan - bukan sebagai pemerhati zaman namun sebagai pencetus sejarah dan makna dengan pelbagai peranannya yang, antara lain, sebagai pendesak dan penuntut kemerdekaan, pembela pembentukan Malaysia, pendesak bagi pembangunan generasi muda, wira dan hulubang pembela bangsa dan tanahair serta pengangkat martabat ilmu dan pengisi jati diri bangsa. Namun apa yang pasti, dalam tempoh enam puluh tahun itu – manhaj dan pendekatan Pemuda UMNO tidak pernah luntur dan longlai sebagai pembela dan pemangkin masa depan anak muda bangsa dan tanahair.
Enam puluh tahun yang diukir dan berlalu bukan bermakna bahawa Pemuda UMNO sudah diragut usia dan luntur kekuatannya. Enam puluh tahun juga bukan bererti Pemuda UMNO sudah kecut semangat dan lusuh jati diri perjuangannya. Enam puluh tahun ini sebenarnya telah mematang, menguat dan mempersiapkan kita merentasi halangan zaman serta tuntutan generasi yang semakin mencabar mutakhir ini.
Jesteru, lanjutan daripada aset perjuangan Pemuda UMNO yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu dan peranannya sebagai pemimpin dan pembela generasi muda tanahair dalam konteks politik tanahair, saya telah menggaris dan menetapkan misi dan lima rukun perjuangan kita, yang mana misi kita adalah bagi memenangi sokongan generasi muda Melayu, Cina, India dan dari kelompok etnik yang lain kepada Barisan Nasional dan digabung dengan lima rukun yang menjadi paksinya iaitu Bersatu, Berprinsip, Inklusif, Relevan, dan Proaktif.
Di atas kesempatan ini, saya juga ingin menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan lafaz tahniah dan terima kasih di atas kesungguhan dan pengorbanan seluruh jemaah warga Pemuda UMNO yang telah menjadi nadi dan wira bangsa serta rakyat seluruhnya dari dahulu hingga sekarang.
Disamping itu, bertetapan dengan bulan Ramadhan Al Mubarak ini, saya juga mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa dan berbuka kepada seluruh wirawan Pemuda UMNO, walau di mana anda berada.
Source: Rembau Dot Net
1 comments:
Salam,
Kalau usia saja matang tetapi masaalah ketirisan masih di takuk lama sampai bila2pun tak matang.
Post a Comment