Monday, August 3, 2009

Pemuda UMNO "Samurai" Tempa Kejayaan Pertama, Muncul Juara Terbuka Pahang












Kuantan -- Hebat……Pasukan Ragbi Pemuda UMNO Malaysia memulakan langkah pertamanya dengan menempa kejayaan muncul juara pada Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Terbuka Pahang anjuran bersama MPK/KRNP di Padang MPK di sini, Ahad petang.Dalam perlawanan akhir, pasukan Pemuda UMNO “Samurai” mengalahkan pasukan JLJ “A” dengan keputusan 10 – 0.


Malah pemain Pemuda UMNO, Mohd Fairus Ab Rahman turut diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.Sebelum itu pada peringkat Separuh Akhir, pasukan Pemuda UMNO telah mengalahkan Pasukan X Lions, 14 – 0.


Kejohanan selama dua hari itu telah disertai 24 pasukan dari seluruh negara dan ia merupakan penampilan sulung pasukan Pemuda UMNO yang dilancarkan pada Khamis lepas.Hadiah kejohanan telah disampaikan oleh YM Tengku Hasanal Ibrahim Ibni Tengku Abdullah. Turut hadir Exco Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.


Bagi Pengurus Pasukan yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia, Suffian Awang kemenangan ini merupakan satu suntikan semangat yang cukup bermakna buat Pemuda UMNO untuk terus menyemarakkan sukan ragbi bukan sahaja di kalangan ahli pergerakan itu malah golongan muda yang meminati sukat terbabit.Jelasnya kejayaan yang dicapai adalah hasil komitmen bersungguh-sungguh bukan hanya di kalangan pemain tetapi kepimpinan Pemuda UMNO sendiri iaitu Ketuanya, Khairy Jamaluddin dan Naibnya, Datuk Razali Ibrahim.


"Ini adalah permulaan langkah kita dan kejayaan ini sudah pasti mendorong kita untuk lebih bersungguh-sungguh melangkah jauh ke hadapan terutama menyemarakkan lagi sukan ragbi di peringkat akar umbi."


Sukan ini mempunyai peminat yang tersendiri selain ia merupakan sukan yang bukan sahaja lasak tetapi perlu mempunyai tahap displin yang tinggi. "Perlu ditekankan di sini sukan bola sepak dan sepak takraw sememangnya sinonim dengan kita namun kita perlu ingat ramai pemain dan peminat ragbi yang ada di kawasan bandar di kalangan profesional, pelajar universiti yang meminati sukan ini perlu diberi perhatian", katanya.
Source: Pemuda UMNO

No comments: