Sunday, March 8, 2009

UMNO kena bersetiakawan, saran Najib

Sumber: Berita Harian (7 Mac) - Umno mahu pastikan BN menang

KUALA LUMPUR: Umno menghormati semangat setiakawan Barisan Nasional (BN) dan tidak akan mempertikaikan soal calon sama ada dari MIC atau sesiapa pun yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah pada 7 April depan.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata Umno negeri, termasuk bahagian Merbok akan bekerja keras bagi memastikan calon dipilih pucuk pimpinan BN merampas semula kerusi DUN berkenaan.

"Saya ingin nyatakan Umno Kedah dan Umno bahagian Merbok akan memberi kerjasama sepenuhnya dan komited untuk memastikan calon BN pada pilihan raya kecil ini mencapai kemenangan. "Soal calon tidak timbul. Sesiapa dari mana-mana parti sekali pun yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti akan diterima oleh Umno Kedah dan bahagian Merbok," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno dengan Badan Perhubungan Umno Kedah di ibu pejabat parti, di sini, semalam.

Mesyuarat bagi membincangkan persiapan parti untuk pilihan kecil Bukit Selambau itu dihadiri dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz; dan Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Kerusi DUN Bukit Selambau, dalam Parlimen Merbok itu kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya, V Arumugam pada 9 Februari lalu.

No comments: