Sunday, March 8, 2009

Najib Setuju Semangat Setiakawan

Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak setuju dengan Semangat Setiakawan sebagai teras falsafah kerjasama sesama ahli komponen parti BN. Ini juga selari dan sejajar dengan tema Setiakawan KJ.
KUALA LUMPUR 7 Mac - UMNO sentiasa menghormati semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) dan bersedia menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau termasuk daripada MIC.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komitmen yang sama juga telah dinyatakan oleh Badan Perhubungan UMNO Kedah dan UMNO Bahagian Merbok bagi memastikan calon BN mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil 7 April ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, tidak pernah timbul dalam UMNO sebarang pertikaian mengenai calon parti mana yang lebih layak, sebaliknya semua pihak akan bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Saya ingin nyatakan UMNO Kedah dan UMNO Merbok akan memberi kerjasama sepenuhnya dan akan komited untuk memastikan calon BN mencapai kejayaan dalam pilihan raya kecil kali ini.

"Bagi UMNO, tidak timbul pertikaian mengenai calon. Kita boleh menerima sesiapa sahaja termasuk daripada MIC. Itu terserah kepada pucuk pimpinan BN dan kita sentiasa menghormati semangat setiakawan dalam BN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat antara Jawatankuasa Pengurusan UMNO Pusat dan Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini hari ini.
Kerusi DUN Bukit Selambau kosong setelah wakil rakyatnya, V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan pada 8 Februari lalu dan menghilangkan diri sehingga hari ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, kerusi DUN Bukit Selambau yang diserahkan kepada MIC 14 tahun lalu wajar dikembalikan kepada UMNO kerana parti itu mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang.

Mengenai calon BN yang akan diumumkan, Najib berkata, terserah kepada pucuk pimpinan BN untuk memutuskannya.

"Boleh jadi sehari sebelum penamaan calon atau lebih awal dari itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib memberitahu, agenda mesyuarat berkaitan dengan pembahagian tugas dan penyelarasan berkaitan pilihan raya berkenaan.

Katanya, dengan kerjasama yang lebih erat di dalam UMNO sendiri dan di antara parti komponen, pihaknya akan berusaha memastikan gerak kerja jentera BN berjalan dengan lancar

No comments: