Wednesday, March 4, 2009

Lawatan Ke Rumah Mangsa Banjir Di Kawasan Parlimen Rembau



2 Mac 2009 - Beberapa kawasan di dalam kawasan Parlimen Rembau telah dilanda banjir besar akibat daripada hujan lebat yang turun pada malam sebelumnya. Setelah mendapat maklumat daripada pemimpin-pemimpin tempatan dan ahli-ahli Pemuda UMNO Rembau, Sdr. Khairy yang simpati dengan nasib mangsa-mangsa banjir di kawasannya telah turun ke padang untuk melihat bdan memberikan bantuan kepada mereka yang terlibat.

Kehadiran Sdr. Khairy pada jam 4.00 petang di Kg. Paroi, iaitu salah sebuah kampung di DUN Paroi yang dilanda banjir, telah menaikkan semangat dan motivasi para penduduk yang dalam keletihan akibat tidak tidur semalaman kerana membersihkan kediaman mereka yang diliputi lumpur tebal. dalam ucapan Beliau, Sdr. Khairy memaklumkan kejadian banjir yang berlaku pada kali ini amat besar dan merupakan satu bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Beliau juga menasihatkan agar para penduduk menjaga kesihatan masing-masing dan memantau keselamatan anak-anak sepanjang masa.

Dalam majlis ringkas yang diadakan di hadapan rumah En. Shamsul, Ketua UMNO Cawangan Kg. Paroi, Sdr. Khairy telah menyumbangkan bantuan wang tunai manakala pihak JKM telah menyumbangkan bantuan makanan kepada 31 buah keluarga yang terlibat di kampung tersebut. Selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau, beliau juga telah meminta seramai 50 orang ahli Pemuda Cawangan Kg. Paroi, Kg. Paroi Barat, Kg. Sentosa, Kg. Tok Dagang dan Taman Tasik Jaya Bandar untuk turun membantu membersihkan rumah-rumah yang dilanda lumpur tebal.

Terima kasih diucapkan kepada kakitangan Majlis Perbandaran Seremban dan Pejabat Daerah Seremban kerana telah sama-sama membantu penduduk membersihkan rumah dan membaiki kerosakan infrastruktur dengan segera.

Pada jam 5.45 petang pula, Sdr. Khairy telah pergi melawat kesan kejadian banjir di DUN Chembong dan menyampaikan sumbangan kecemasan di Kg. Kundur Hulu. Pada majlis tersebut, YB. Tuan Zaifulbahri Idris, ADUN Chembong telah mengumpulkan seramai 35 buah keluarga dari kampung tersebut dan 3 buah kampung lain yang turut terlibat iaitu Kg. Kundur Tengah, Kg. Pilin dan Kg. Pedas Hilir untuk menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Rembau dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Antara yang hadir di majlis tersebut adalah Tn. Haji Mohd Rawi, Pegawai Daerah Rembau dan kakitangannya, Puan Rohaizal, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa agenssi kerajaan yang turun membantu sepanjang hari tersebut. Menurut daripada maklumat penduduk di sana, banjir besar yang terakhir berlaku adalah pada 13 tahun yang lepas dan penduduk tidak menjangkakan, selepas 13 tahun banjir besar tersebut berlaku lagi dan merosakkan kediaman mereka.

Lawatan Sdr. Khairy di Parlimen Rembau berakhir di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Balairaya Kg. Lubok Cina pada jam 7.00 malam, dimana terdapat 6 buah keluarga yang masih tinggal di pusat pemindahan tersebut. Selain daripada menyampaikan sumbangan, beliau turut berbual dengan para penduduk dan menasihatkan mereka agar bersabar dan tidak tergesa-gesa untuk pulang ke rumah selagi keadaan banjir tidak surut sepenuhnya.


Sdr. Ijam dan Pemuda UMNO Cawangan Kg. Sentosa sedang sibuk membersihkan salah sebuah rumah yang teruk dilanda banjir lumpur.


Pemuda UMNO Cawangan Kg. Paroi bertungkus lumus membuang lumpur di sebuah rumah yang paling teruk dilanda banjir.


Petugas Parlimen Rembau melihat kesan-kesan kejadian banjir yang berlaku malam sebelumnya untuk dilaporkan kepada Pejabat DaerahSeremban.


Menyampaikan sumbangan kecemasan kepada semua mangsa banjir di Kg. Paroi


Menyampaikan bantuan makanan kepada 15 orang penduduk yang paling teruk dilanda banjir


Mengunjungi rumah penduduk yang rumahnya terletak di sebelah sungai dan paling teruk dilanda banjir


Bertanyakan khabar dan menasihati tuan rumah agar menjaga kesihatan walaupun sibuk membersihkan rumah


Mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ahli Pemuda Rembau yang sedia membantu apabila diperlukan khidmat mereka








Melihat kesan bencana banjir yang memusnahkan tebing sungai untuk dilaporkan kepada Pejabat Daerah Seremban bagi diambil tindakan pemulihan tebing sungai.


Berucap di hadapan mengsa banjir Kg. Kundur Hulu, Kg. Kundur Tengah, Kg. Pilin dan Kg. Pedas hilir




Besara YB Tuan Zaifulbahri Idris, ADUN Chembong menyampaikan sumbangan kewangan dan makanan kepada mangsa banjir


Menyampaikan bantuan kepada warga emas dari Kg. Kundur Tengah


Menyampaikan sumbangan kepada Ketua UMNO Cawwangan Lubok Cina yang turut tinggal di Pusat Pemindahan Banjir di Balairaya Kg. Lubok Cina




Melayan kanak-kanak yang sedang menikmati makan malam mereka di pusat pemindahan.

No comments: