Tuesday, March 31, 2009

Amanah Dijunjung Tanggungjawab Dikendung

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT serta berterima kasih kepada semua perwakilan Pemuda UMNO di atas sokongan yang diberi dan dengan rasa penuh rendah diri dan tawadduk, saya menerima amanah dan tanggungjawab besar yang diamanatkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Saya berikrar untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberi ini di atas panji-panji setiakawan bagi memperkasa dan mengakar umbikan Pemuda UMNO, memperkukuh ikatan dan kekuatan Pemuda dalam Barisan Nasional, menjaga kebajikan dan membela kepentingan seluruh generasi muda negara dalam menangani cabaran dan tuntutan masa kini dan masa hadapan.
Proses pemilihan dan kemenangan ini juga menzahirkan amalan demokrasi yang sihat di dalam institusi dan parti UMNO serta kematangan setiap perwakilan Pemuda UMNO memilih pemimpin di kalangan mereka. Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua ahli Pemuda UMNO untuk bersatu hati dan bersama dengan saya bagi merapat dan menyatukan barisan serta bekerja lebih rajin dan keras membawa perjuangan parti - untuk agama, bangsa dan negara.
Sesungguhnya kemenangan ini begitu manis dan saya ingin mengucap dan merakamkan penghargaan tak terhingga kepada ahli keluarga yang begitu memahami dan menyokong saya sebagai ahli politik, rakan-rakan seperjuangan dalam parti dan Barisan Nasional serta sahabat-sahabat rapat yang begitu komited bersama.

No comments: