Tuesday, February 10, 2009

Ucapan Khairy Jamaluddin Mengenai Palestin di Dewan Rakyat, pada 12 Januari 2009 - Malaysiakini


Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Saya mewakili Pemuda Barisan Nasional dan juga rakyat Rembau ingin turut serta membahaskan usul ini, yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia. Pertamanya saya ingin menyokong sepenuh-penuhnya usul ini yang mengutuk tindakan rejim Tel Aviv terhadap serangan mereka ke atas Genting Gaza selama dua minggu ini.

Saya melihat usaha Parlimen untuk bersatu padu dalam isu ini sama ada daripada Barisan Nasional ataupun daripada Pakatan Rakyat melambangkan keprihatinan rakyat Malaysia, pemimpin-pemimpin Malaysia terhadap masalah di Palestin [Tepuk] Dalam hal ini juga kita melihat dan kita buktikan kepada satu dunia bahawa masalah Palestin ini adalah masalah sejagat. Bukannya masalah yang terhad kepada dunia Islam, bukannya masalah orang-orang
Islam, bukannya masalah orang Muslim sahaja.

Akan tetapi masalah ini adalah masalah sejagat, masalah keadilan sejagat, masalah penindasan terhadap satu rakyat. Seperti mana ada demonstrasi di negara-negara Islam, ada juga demonstrasi di Amerika Syarikat, ada juga demonstrasi di Eropah, ada juga demonstrasi malah ada juga demonstrasi di Israel itu sendiri kerana rakyat Israel sebahagian daripada mereka mengutuk tindakan kerajaan mereka sendiri. Ini melambangkan bahawa apabila kita berdepan dengan satu masalah sejagat, dunia ini tidak boleh hanya melihat dan menjadi saksi kepada apa yang sedang berlaku di Palestin. Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan beberapa perkara yang saya harap akan dapat menjadi satu cadangan, satu gerak kerja bagi kerajaan Malaysia untuk menambah tekanan kita terhadap Israel dan kepada sekutu-sekutunya termasuklah Amerika Syarikat yang menjadi penyokong dan dalang yang paling kuat dan utama rejim Tel Aviv di Israel.

Pertamanya Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi bahawasanya kita mendesak agar gencatan senjata yang dibawa oleh Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini diperkuat kuasa. Malangnya sampailah ke
hari ini kita tidak melihat Israel mematuhi apa yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB iaitu gencatan senjata. Sebab itu saya mencadangkan agar masyarakat dunia menambah tekanan tersebut, bukan sekadar kita meluluskan usul gencatan senjata di Majlis Keselamatan PBB tetapi kita threat ataupun dengan izin ancaman terhadap negara Israel sekiranya mereka tidak menghormati gencatan senjata yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB. Pertamanya akan ada sekatan ekonomi terhadap Israel ataupun economic sanctions dan jika mereka gagal juga untuk mematuhi gencatan senjata yang diluluskan oleh PBB .

Akhirnya kita perlu meluluskan satu usul di mana kita hantar pasukan ketenteraan di bawah PBB untuk masuk menjamin keselamatan dan keamanan untuk rakyat Palestin [Tepuk] Ini tidak ada satu pilihan yang lain. Kalau Israel tetap dengan pendirian mereka untuk menafikan suara masyarakat antarabangsa yang dizahirkan melalui usul PBB tersebut maka akhirnya masyarakat dunia tidak ada pilihan melainkan kita campur tangan melalui satu pasukan ketenteraan yang akan melaksanakan dan menguatkuasakan keamanan di Palestin dan juga di kawasan-kawasan yang berhampiran. Ini kerana Tuan Yang di-Pertua, saya melihat kalau kita tengok beberapa tahun yang lepas apabila Amerika Syarikat menyerang negara Iraq dengan tanpa adanya apa-apa ancaman yang terang dan nyata.

Biasanya ancaman perang ini dilakukan apabila ada clear and present danger dengan izin ancaman yang terang dan nyata. Sampai hari ini tidak pernah dibuktikan bahawa Iraq mempunyai weapon of mass destruction dengan izin yang telah menyebabkan ataupun menjadi punya ataupun sebab utama serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada waktu itu. Pada waktu itu Amerika Syarikat tidak melalui PBB lagi kerana tahu bahawa PBB tidak akan setuju dengan serangan mereka. Mereka membentuk apa yang dipanggil collusion of willing dengan izin iaitu negara-negara yang rela bersama dengan mereka untuk menyerang Iraq pada waktu itu. Pada hari ini Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan Malaysia juga berdiri di hadapan masyarakat dunia dan menawarkan negara kita sebagai negara yang pertama yang ingin membentuk satu collusion of the willing yang akan bantu negara Palestin dan rakyat Palestin dalam masa yang cukup derita ini.

Kalau kita tidak berani membentuk satu pasukan yang boleh menguatkuasakan keamanan yang ada yang kita tuntut di Palestin ini, maka apa sahaja usul yang kita bangkitkan tidak akan bermakna. Ini kerana tidak ada threat of force, tidak ada satu ancaman penguatkuasaan yang boleh dipatuhi oleh Israel. Kalau kita cuma sekadar dengan satu usul yang dibentangkan PBB tanpa ada satu threat sama ada dalam bentuk sekatan ekonomi, dalam bentuk campur tangan military maka saya percaya kita tidak melihat penyelesaian ataupun noktah yang bermakna berlaku di Palestin dan di Ghaza pada waktu ini. Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan kepada kerajaan Malaysia. Bukan kita mengisytiharkan perang, bukan kita menghalalkan perang tetapi kita pasti kita perlu ada satu ancaman threat untuk memastikan bahawa Israel patuh dengan apa yang diluluskan oleh PBB.

Kalau tidak ada maka saya pesimistik, saya tidak beberapa optimistik bahawa perkara ini dapat kita selesaikan. Apa yang kita dapat selepas ini adalah satu penyelesaian yang berat sebelah, yang akhirnya tidak akan dapat melihat kewujudan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat kerana itulah yang menjadi harapan kita selepas penyelesaian masalah di Ghaza ini. Kedua Tuan Yang di-Pertua, saya melihat banyak masalah yang berlaku pada hari ini dalam kes penyerangan Israel terhadap Palestin. Ini berpunca juga kepada sistem antarabangsa yang berat sebelah. Kalau kita melihat kenapa PBB pada hari ini tidak berkuasa seolah-olah powerless dan tootless dengan izin adalah sebab sistem antarabangsa politik pada hari ini tidak memberi suara kepada majoriti masyarakat dunia.

Saya mencadangkan selain daripada kutukan kita terhadap Israel pada hari ini, kita melihat ataupun kita letakkan sebagai satu objektif, satu matlamat penting bagi kita untuk menghidupkan semula usaha untuk menstrukturkan sistem antarabangsa bermula dengan PBB. Saya bagi contoh Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat Israel pada hari ini melanggar 35 daripada usul yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB. Tidak ada penguatkuasaan, dengan sewenang-wenangnya melanggar usul yang diluluskan oleh UN Security Council. Perhimpunan Agung PBB telah mengutuk Israel sebanyak 321 kali tanpa apa-apa tindakan daripada Israel. Usul Anti Israel diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB sebanyak 429 kali.

Akan tetapi oleh kerana tidak pernah ada usaha untuk memperkuatkuasakan usul-usul tersebut iaitu undang-undang antarabangsa. Maka, oleh sebab itu Israel terus dan tindakan mereka untuk menyerang Palestin dan juga rakyat Palestin. Sebab itu saya tuntut, saya minta agar reformasi kepada sistem antarabangsa bermula dengan PBB itu dapat kita perjuangkan. Termasuklah kuasa veto yang selama ini dipegang oleh lima negara yang boleh menggagalkan apa sahaja tindakan untuk menyelamatkan mana-mana negara dan mana-mana rakyat dunia atas isu kemanusiaan dan serangan yang tidak berasas. Kedua adalah sistem antarabangsa ataupun sistem ekonomi antarabangsa.

Kalau kita lihat banyak niat yang baik untuk kita boikot barangan Amerika Syarikat, untuk kita boikot ekonomi Amerika Syarikat, Israel dan sebagainya. Akan tetapi hakikatnya pada hari ini boikot itu berkesan ataupun tidak. Kalau kita teliti dengan detail Tuan Yang di-Pertua, apakah ekonomi dunia hari ini terlalu bergantung kepada ekonomi Amerika Syarikat. Kalau kita hendak patahkan Amerika Syarikat ini dengan serangan terhadap ekonomi mereka dengan boikot dan sebagainya, biarlah kita merubah sistem ekonomi dulu. Kalau hari ini kita lihat perdagangan dunia 30% di kuasai oleh Amerika Syarikat. Banyak, ramai negara di dunia ini pegang US Dolar sebagai simpanan rizab mereka.Banyak, ramai dunia simpan bond Treasury Bill Amerika Syarikat. Jadi kalau betul-betul kita ada iltizam untuk pastikan bahawa Amerika Syarikat tidak berpengaruh untuk membantu Israel, kita perlu melaksanakan satu perubahan untuk memastikan bahawa kebergantungan ekonomi dunia terhadap ekonomi Amerika Syarikat dapat kita kurangkan. Kalau tidak Tuan Yang di-Pertua, apa sahaja yang kita impikan dari segi tekanan ekonomi terhadap syarikat-syarikat tersebut tidak akan berjaya.

Kita perlu realistik, kita perlu pijak atas bumi yang nyata dan mengaku bahawa selama ini ekonomi dunia termasuk ekonomi negara kita dan jiran-jiran kita terikat dengan ekonomi Amerika Syarikat. Itulah yang menyebabkan kita tidak ada suara dan tidak ada kuasa apabila mereka menyokong Israel untuk menyerang rakyat Palestin.

Tuan Yang di-Pertua, ketiga adalah perpaduan dalam dunia Islam. Dalam hal ini saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia kerana apabila memegang jawatan sebagai Pengerusi OIC selalu berprinsip untuk menyatakan perpaduan di kalangan dunia negara-negara Islam. Seperti mana yang saya sebutkan tadi walaupun ini bukanlah isu Islam, ini isu sejagat, tetapi yang pentingnya di sini kita perlu kepada perpaduan di kalangan umat-umat Islam dan negara-negara Islam. Tuan Yang di-Pertua, akan tetapi malangnya, kalau kita tengok dari segi bantuan Amerika Syarikat terhadap Israel, saya kira sampai 10 juta setiap hari diberi oleh Amerika Syarikat kepada Israel dalam bantuan terus. Apakah dengan negara-negara Arab negara Islam bantuan mereka terhadap Palestin? Tahun lepas apabila harga minyak melambung naik, GCC negara-negara Gulf telah dapat 230 bilion dari segi pendapatan mereka dalam bentuk pendapatan minyak. Akan tetapi sejauh manakah bantuan itu sampai ke Palestin? Sejauh manakah bantuan itu sampai untuk meringankan masalah kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang berhadapan dengan blockade, satu sekatan, daripada Israel pada waktu itu saya tidak melihat.

Saya melihat dengan cukup sedihnya apabila kita merayu kepada seluruh dunia Islam dan negara Islam untuk bangun bersama dengan Palestin untuk membantah Israel dan Amerika Syarikat pada hari ini, ramai yang tidak berani. Inilah ironi dunia Islam pada hari ini. Inilah boleh dikatakan hipokrasi dunia Islam pada hari ini. Kerana apa? Ini kerana tidak kurang daripada tujuh negara Arab ada pangkalan tentera Amerika Syarikat dalam negara mereka. Tuan Yang di-Pertua, ironinya negara-negara ini minta, undang dan jemput oleh Amerika Syarikat untuk berpangkalan di negara mereka bukan untuk melindungi mereka daripada serangan Israel tetapi untuk melindungi mereka daripada negara-negara Islam yang lain.

Contohnya, pangkalan tentera Amerika di Kuwait untuk melindungi mereka daripada negara Islam, Iraq. Pangkalan tentera di Arab Saudi untuk melindungi mereka daripada Iraq dan Iran. Apakah ini masalah kita? Sekarang ini seolah-olah tidak ada logik langsung dalam dunia di mana kita bergantung kepada Amerika Syarikat yang pada waktu yang sama membidas, serang dan juga membunuh rakyat Palestin di depan mata kita pada hari ini. Jadi, saya merayu kepada Kerajaan Malaysia, berdirilah untuk menyuarakan pandangan kita bahawa hipokrasi ini perlu kita hentikan sekarang. Tidak lagi kita bergantung pada Amerika Syarikat untuk ekonomi, untuk tentera atau untuk keselamatan. Jika tidak kita selama-lamanya tidak ada kuasa membuat sesuatu untuk memastikan bahawa ada perubahan dalam hal ini.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua cadangan saya di mana saya melihat bahawa ada banyak usaha untuk mengumpul dana bagi Palestin dan ini adalah usaha yang cukup murni yang dilaksanakan oleh rakyat Malaysia pada waktu ini. Akan tetapi ia masih lagi belum cukup, masih lagi hanya cuma individu yang memberi. Dari segi syarikat-syarikat ini kita tidak melihat sangat syarikat-syarikat yang besar memberi kepada dana-dana untuk Palestin. Saya mencadangkan untuk Palestin ini kerajaan meluluskan pelepasan cukai sekali ganda ataupun dua kali ganda bagi syarikat-syarikat yang hendak menyumbang kepada Tabung Palestin, maksudnya double tax exemption. Contohnya, kalau kita hendak menderma RM500,000 kita dapat pengecualian cukai untuk pendapatan kita sebanyak RM1 juta. Ini akan menggalakkan syarikat-syarikat untuk menabung, memberi dan menderma ke arah kita meringankan bebanan rakyat Palestin. Saya rasa ini boleh meningkatkan lagi dana kita untuk membantu rakyat Palestin.

Tuan Yang di-Pertua akhir kata, saya bersama-sama dengan rakan-rakan Ahli-ahli Parlimen yang ada di sini menyokong penuh usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri. Saya melihat ada ramai daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya, duta-duta daripada kedutaan yang bersama tadi, yang tetap bersama untuk melihat apa yang dibahaskan di sini. Saya Cuma ingatkan kepada mereka, sampaikanlah kepada kerajaan mereka dan sampaikanlah kepada Kerajaan Amerika Syarikat yang saya difahamkan tidak diwakili hari ini, tidak hantar wakil ke persidangan ini. Saya hendak sampaikan kepada mereka tekanan ini perlu diteruskan.


Sehubungan itu, tadi disebutkan bahawa harapan terhadap bakal Presiden Barrack Obama, tetapi malangnya sampai hari ini kita tidak dengar sepatah pun, kita tidak dengar satu perkataan pun daripada bakal Presiden Barack Obama. Seolah-olah Presiden Barack Obama juga telah terikat dengan lobi Yahudi, lobi Zionis yang ada di Amerika Syarikat. Oleh sebab itu, kita perlu mempertingkatkan tekanan terhadap Amerika Syarikat dan nyatakan kalau tujuan pada hari ini Amerika Syarikat hendak kurangkan perang tamadun ataupun clash of civilizations dengan serangan terhadap Israel, mereka telah berjaya melahirkan berjuta-juta lagi pejuang berani mati (suicide bombers). Saya rasa kalau perkara ini diteruskan selama-lamanya tanpa ada noktah, tanpa ada sebarang usaha pun untuk menyelesaikan masalah ini, orang-orang waras seperti yang ada di sini pun akan rela menjadi suicide bombers kerana kita tidak rela melihat masalah ini diteruskan.

Hari ini saya rasa all of us here are suicide bombers standing in solidarity with Palestine. Itu bukan saya maksudkan saya menggalakkan berani mati tetapi dari segi semangat kita dan dari segi iltizam kita akan tetap bersama dengan rakyat Palestin sampailah mereka dapat negara yang berdaulat, merdeka dan bebas. Sekian. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

No comments: