Monday, February 23, 2009

Semua Sepakat - Malaysiakini

PASIR MAS: Semua pucuk pimpinan Pergerakan Pemuda Umno mencapai kata sepakat untuk bersatu dalam kempen bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah yang akan diadakan serentak, April ini. Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata, Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Rabu lalu memanggil semua peringkat pimpinan pemuda termasuk calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda untuk mengadakan mesyuarat sebagai persiapan menghadapi dua pilihan raya kecil itu. Beliau berkata, kata sepakat yang dicapai semua pihak tanpa mengira siapa yang akan dipilih sebagai Ketua atau Naib Ketua Pemuda adalah mereka bekerjasama dalam kempen bagi memastikan dua kawasan itu menjadi milik BN.

"Hishammuddin yang mempengerusikan mesyuarat pucuk pemimpin Pemuda Umno Rabu lalu, diberi jaminan semua peringkat Pemuda bekerjasama pada pilihan raya kecil itu. "Tanpa mengira siapa yang terpilih atau tidak sebagai Ketua dan Naib Ketua Umno pada perhimpunan Mac ini, semua akan berkempen bagi dua pilihan raya itu, malah juga bersedia untuk pilihan raya kecil Bukit Lanjan, Selangor, jika diadakan nanti," katanya di sini, semalam. Ditanya peluangnya pada Perhimpunan Agung Umno Mac ini, Khairy berharap perwakilan membuat pilihan tepat berdasarkan keperluan Pemuda.

"Harapan saya, sudah tentu untuk menang dan meminta semua perwakilan membuat pemilihan demi masa depan Pemuda dengan memberi peluang kepada pemimpin yang boleh memperjuangkan suara orang muda," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pas seharusnya bersedia menanggung risiko yang akan dihadapi apabila mengambil calon bebas, Datuk Ibrahim Ali menggunakan tiket parti itu pada pilihan raya umum lalu. Katanya, sebagai calon bebas, Ibrahim tentu mempunyai kebebasan melahirkan pandangan serta kritikan sama ada membabitkan BN (Umno) atau Pakatan Rakyat (Pas). "Kini terpulang kepada Ibrahim, sama ada hendak menghormati perjanjian yang dibuat dengan Pas atau tidak. Saya dengar, ada kontrak dimeterai antara Ibrahim dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, ketika pilihan raya umum lalu.

"Saya tidak tahu apakah perjanjian yang sudah dibuat antara kedua-dua pihak berkenaan, sama ada Ibrahim ditegah menghentam Pas atau sebaliknya," katanya mengulas desakan Pas kelmarin yang meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas.
Source: Berita Harian

No comments: