Thursday, February 19, 2009

Permuafakatan Semua - Malaysiakini

Permuafakatan sesama ahli serta kepentingan parti mengatasi segalanya, sepertimana ditunjukkan oleh kenyataan akhbar Ketua Pergerakan Pemuda, Dato' Sri Hishamuddin bersama-sama dengan semua calon-calon bagi jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Pusat semalam.


Langkah ini sememangnya matang dan wajar, sepertimana saranan Saudara Khairy sebelum ini (see: Rembau Dot Net, KJ 4 KP UMNO)  yang mempelawa satu pertemuan seperti ini. 


Satu lagi contoh di mana pandangan Saudara Khairy yang diterima oleh Kepimpinan atasan UMNO.


Kepemimpinan Pemuda utama kemenangan BN

Oleh Magendran Rajagopal


HISHAMMUDDIN bergandingan tangan bersama Mohamad Khir (kiri), Khairy dan Mukhriz (kanan) selepas mesyuarat khas Pemuda Umno, di Kuala Lumpur, semalam.

Dua pilihan raya kecil jadi medan sepakat: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Pemuda Umno, termasuk tiga calon yang bertanding bagi jawatan ketua pergerakan itu bulan depan, bersepakat untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah pada 7 April ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semua pemimpin Pemuda dalam satu mesyuarat khas semalam, memberi jaminan akan mengutamakan kepentingan parti meraih kemenangan bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.


Katanya, biar apa pun keputusan pemilihan Pemuda Umno pada perhimpunan agung tahun ini, semua calon termasuk Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda, berikrar mengetepikan perbezaan peribadi dan bersatu padu demi parti serta BN. 

"Sehubungan itu, kita tidak akan mengubah Ketua Pemuda Umno Perak (Zainol Padzi Paharuddin) dan Ketua Pemuda Umno Kedah (Md Rawi Abdul Hamid) sehingga pilihan raya kecil ini selesai kerana mereka lebih arif dalam memastikan jentera parti berjalan lancar ketika kempen pilihan raya kecil. 

"Ketiga-tiga calon Ketua Pemuda (Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo) menyatakan kesungguhan bergerak seiring bagi menjayakan kempen kita di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Saya ingatkan mereka tiada gunanya kita berebut jawatan tinggi dalam Pemuda Umno sekiranya parti tidak dihormati orang ramai. Saya mahu sesiapa saja yang ditakdirkan menggantikan saya kelak mendapat sokongan padu semua pihak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas itu di sini, semalam. 

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Roslan Shaharum daripada Pas pada 9 Februari lalu, manakala kerusi DUN Bukit Selambau pula dikosongkan penyandangnya, V Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan masalah peribadi. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil terbabit ditetapkan pada 29 Mac ini, manakala pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan. 

Perhimpunan Agung Umno pula dijadualkan dari 24 Mac hingga 28 Mac, iaitu sehari sebelum tarikh penamaan calon pilihan raya kecil kedua-dua kerusi itu.

Ditanya sama ada keadaan itu akan mewujudkan rasa kurang senang antara calon yang menang dan sebaliknya, sekali gus menjejaskan kempen pilihan raya kecil, Hishammuddin berkata, beliau yakin kepemimpinan Pemuda Umno berupaya merapatkan barisan selepas pertandingan tanpa banyak masalah.

No comments: