Monday, February 16, 2009

Menyokong Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Berkenaan Isu Belia - Malaysiakini

Semasa merasmikan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Kedua Belas pada hari ini, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah bertitah dan menyentuh mengenai kepentingan golongan belia kepada negara.
DYMM Tuanku menegaskan bahawa generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara dan kini mewakili 41 peratus daripada penduduk negara ini. Menurut DYMM Tuanku, cabaran untuk membangunkan golongan belia kini bukan hanya tertumpu kepada aspek latihan dan pekerjaan semata-mata kerana negara memerlukan belia yang berintegriti, memiliki identiti diri yang positif, berdaya saing dan cintakan negara.
Sebagai seorang pemimpin muda, saya menyokong penuh saranan, pandangan dan nasihat yang diberikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda kerana golongan pewaris ini bukan sahaja penting dari segi komposisi dan representatif mereka di dalam populasi negara, tetapi juga dari aspek ekonomi dan politik di mana dari segi ekonomi golongan belia mewakili 66 peratus daripada populasi produktif atau golongan yang bekerja di negara ini manakala dari segi politiknya pula, golongan pengundi muda dijangka menjangkau lebih daripada 7 juta orang pada Piliharanya Umum ke 13 nanti. Ini semua membuktikan bahawa golongan belia bukan sahaja penting dari segi potensi, malahan juga dari aspek realiti sumbangan terkini mereka samaada berbentuk ekonomi, sosial mahupun politik kepada negara.
Dalam isu ini, saya berpendapat bahawa usaha-usaha bersepadu dan bertepatan dengan citarasa dan keperluan generasi belia amat perlu diolah dan dilakukan bagi mendekati dan memperkasakan segmen ini agar terus kekal menjadi penyumbang positif kepada pembangunan dan pembinaan negara.
Amat penting bagi kita untuk kita mengiktiraf peranan, suara dan sumbangan golongan belia lebih daripada tindakan jarak jauh berupa perlaksanaan dasar awam bersifat makro semata-mata kerana golongan belia mempunyai budaya berfikir, takrifan dan reaksi yang adakalanya berbeza dengan tanggapan umum.
Disamping itu, golongan belia, yang ditakrifkan sebagai mereka yang berumur dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun, mewakili julat kumpulan yang besar dan pelbagai. Sehubungan dengan itu, tindakan yangmengguna pakai strategi segmentasi atau segmentation strategy hendaklah diguna oleh penggubal dasar di dalam berinteraksi dan menangani isu-isu berkaitan dengan golongan belia.
Dalam hal ini, saya sebagai seorang pemimpin muda yang kini menawarkan diri bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia, merafak sembah meyokong penuh inti pati titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berkenaan isu belia yang begitu tegar di hati dan perjuangan saya.

No comments: