Monday, February 16, 2009

Kalau Lantang Perlu Berisi - Malaysiakini

Oleh Hassan Md Hussein

Kalau lantang perlu berisi, kata KJ

BUKAN mudah sebenarnya mahu menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Macam-macam ujian dan rintangan harus ditempuh. Yang biasa orang sebut, kalau nak jadi ketua Pemuda, perlu lantang.

Khairy Jamaluddin, berpendirian untuk menjadi ketua Pemuda, mestilah seorang yang mempunyai kelantangan menyuarakan hasrat rakyat dan bangsa. Kedua, dapat berhujah dengan berkesan. Kadang-kadang kita lantang tetapi tidak berisi, maka tidak dapat menyampaikan mesej dan patahkan hujah pembangkang.

Jadi kita kena ada kebolehan berhujah bagi menyampaikan maklumat serta berdepan pembangkang.

Ketiga, lebih kepada pekhidmatan. Mereka perlu memastikan telinga selalu mendengar masalah daripada bawah. Ketua Pemuda perlu meruntuhkan segala dinding protokol yang ada bagi merapatkan jurang kepemimpinan dan akar umbi. Itu paling penting. Bila kita berhenti mendengar rintihan dan masalah akar umbi, maka di situlah kita berhenti menjadi pemimpin berkesan.

Pemuda Umno memang memerlukan seseorang yang lantang untuk menjadi ketuanya. Mana mungkin ketua Pemuda 'lembik' dan tidak mampu bercakap kerana 'luka-luka yang ada pada batang tubuhnya'. Itulah sebabnya, apabila ada bekas Menteri Besar hendak bertanding juga, orang itu kenalah melihat 'luka yang ada' walaupun mungkin sudah sembuh tetapi parutnya tetap ada.

Kalau induk Umno, boleh memberi peluang Timbalan Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri (Timbalan Presiden Umno menggantikan Presiden), mengapa sukar sangat Pemuda Umno memberi laluan yang serupa dari Ketua Pemuda Umno (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) kepada naibnya, Khairy Jamaluddin.
Tidak susah sebenarnya, jika Pemuda tahu memilih dan tidak terpengaruh dengan fitnah dan cerita orang-orang kecewa yang hendak menjadikan kerusi ketua Pemuda sebagai 'perhentian sementara' sebelum melangkah ke kerusi lain.
Kenapa susah sangat nak memikirkannya. Kenapa Pemuda tidak dapat menilai, setakat ini kepetahan dan kelantangan berisi Khairy Jamaluddin telah membuktikan bahawa beliau mampu mematahkan hujah pembangkang.
Mana ada calon ketua Pemuda Umno yang lain mampu berdepan dengan pembangkang di hadapan audien pembangkang.
Ketika KJ sudah membuktikan, lantang yang berisi, ada pula calon-calon lain berjalan ke seluruh negara, berkempen sama-sama sendiri, mendabik dada kononnya mereka juga mampu berbuat demikian tetapi, hakikat sebenarnya tidak berkemampuan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kebolehan Datuk Mukhriz Mahathir ialah 'menjadi samseng' di kalangan Umno, menulis surat kepada Perdana Menteri dan kemudiannya menyebarkannya kepada umum (yang dinafikannya), meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur dari jawatan Perdana Menteri.
Begitu juga dengan Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo, sentiasa menyalahkan kepimpinan melalui tulisan dan kenyataannya (dalam blognya) seolah-olah, dialah sahaja yang pandai dan tidak pernah melakukan kesilapan tetapi pemimpin-pemimpin lain, semuanya tidak betul.
Seorang kenalan membisikkan ke telinga penulis memberitahu, isu penyapu dan merubah wajahnya adalah isu besar yang tidak pernah dibuat dalam Umno. Budaya apa yang mahu Khir Toyo perkenalkan kepada Umno, tidak siapa tahu tetapi kesan dari tindakannya itu menyebabkan BN kecundang di Selangor.
Bertanyalah dengan kakitangan kerajaan, khususnya kakitangan PBT di Selangor. Tiada siapa yang menyokong tindakan Khir Toyo ketika menjadi Menteri Besar Selangor menghadiahkan penyapu kepada YDP PBT yang merosot kutipan cukainya.
Kata mereka, jika itu merupakan motivasi kepada PBT, carilah cara dan benda lain yang boleh dijadikan hadiah dan bukan penyapu.
Seorang pelawak yang tidak terkenal mencelah, dalam filem Nasib Labu Labi, P. Ramlee sudah menjadikan senikata lagunya …kalau datang syaitan dan hantu, ana pukul dengan penyapu.
Begitulah sebenarnya kegunaan penyapu. Selain daripada kegunaan asasinya, menyapu sampah, penyapu juga adalah sesuatu yang 'sial' bagi masyarakat Melayu. Malangnya, disebabkan Khir Toyo mungkin bukan dari kalangan masyarakat Melayu, semua benda dan mitos ini ditolak mentah-mentah.
Mungkin para penyokong Khir Toyo menganggap isu ini, merubah wajahnya dan menghadiahkan penyapu kepada YDP PBT adalah isu lama dan sudah basi. Tetapi, jika orang seperti ini diberi peluang memegang jawatan tinggi, dia akan mengulangi lagi perbuatannya itu kerana dia perasan dia lebih hebat dari orang lain, dia lebih pandai dari orang lain dan dia lebih tahu dari semua orang.
Tidak hairanlah dia mahu merubah sejarah kelahiran Umno dari Istana Johor ke Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tetapi cadangannya itu tidak mendapat sambutan dari sesiapa dan tiada siapa menyokongnya termasuklah veteran Umno dari Selangor sendiri.
Berbalik kepada perlunya ketua Pemuda seorang yang lantang, KJ mendahului kedua-dua saingannya itu.
Malahan, sudah teruji pun. Malangnya, kedua-dua saingan KJ ini pula hanya lantang sama-sama sendiri, di kalangan Umno dan bukan ketika berdepan dengan pembangkang. Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor sekalipun, Khir Toyo belum lagi membuktikan 'serangannya' memberi kesan mendalam kepada pentadbiran kerajaan PKR di Selangor.
Malahan, kerajaan PKR di Selagor pula sibuk mendedahkan salah laku Khir Toyo ketika menjadi MB Selangor yang menyebabkan dia terpaksa 'membersihkan kekotoran' dirinya daripada memainkan peranan berkesan sebagai Ketua Pembangkang.
Patutlah KJ menekankan kelantangan itu mestilah berisi. Tidak ada gunanya lantang tetapi macam tong kosong. Macam ada seorang calon yang sibuk mempelawa Pas di Perak supaya bergabung dengan BN.
Pelawaan itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana 'lebih sudu dari kuah'. Pas bukanlah sebuah parti yang 'mahu ke arah bekerjasama dengan Umno' kerana mereka sekarang 'berketuakan' Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cara Pas bertindak dan berfikir sekarang sudah seperti PKR kerana itulah mereka boleh duduk semeja dengan DAP hingga sanggup 'membenarkan' para penyokongnya menjadi hero jalanan dengan berbaring di atas jalan raya, untuk mencari 'mati syahid'.
Mereka sepatutnya ke Gaza dan bukan ke Kuala Kangsar jika mahu berjuang seperti itu tetapi nak buat macam mana, Pas sudah tersasar jauh.
Jadi, janganlah buat kerja sia-sia, dengan mempelawa Pas Perak bergabung dengan BN (Umno).
Inilah akibatnya, jika kita mahu menjadi lantang tetapi lantang yang tidak berisi (baca: kosong).
Kalau tidak lantang, mungkin tidak mendapat pubisiti dalam media. Orang seperti ini bukan sahaja tidak mampu berhujah mematahkan hujah pembangkang, malahan pelawaan untuk calon-calon ketua Pemuda berdebat pun ditolak awal-awal, kerana ketidakmampuan berhujah dengan fakta.

No comments: