Thursday, February 26, 2009

Jangan Korbankan Khairy Kerana Persepsi - Malaysiakini

SAYA tertarik untuk mengulas tulisan saudara Feriz Omar dalam Utusan Malaysia, semalam yang memaparkan mengenai perebutan jawatan dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Sebenarnya adalah menjadi hak Feriz untuk menyokong sesiapa termasuklah kepada Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir. Sebagai seorang pemerhati politik saya berpendapat, adalah tidak wajar jika kita hanya menilai kemampuan seorang calon sahaja.

Dalam soal ini, secara terus-terang saya katakan bahawa dari segi karisma dan kemampuan untuk mengetengahkan suara generasi muda, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin juga dilihat lebih layak.

Adalah tidak wajar jika Feriz menggunakan ayat ''Walaupun Khairy dan Mohd.Khir dapat menepis tanggapan ramai terhadap mereka, peringkat akar umbi sememangnya mengenali siapakah mereka sebenarnya.''

Kita tidak tahu maksud di sebaliknya ayat ini tetapi apa yang diharapkan sebagai seorang yang memimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Feriz perlu bertindak neutral dan tidak terlalu mencampuri urusan pertandingan dalam UMNO.

Biarlah ahli-ahli Pemuda menilai dan memilih siapa yang mereka mahu. Namun dalam keadaan UMNO berhadapan dengan cabaran yang begitu hebat termasuklah berusaha meraih sokongan generasi muda, adalah lebih baik kemampuan setiap calon yang bertanding bagi jawatan ketua Pemuda dinilai sejujur-jujurnya dan bukannya berasaskan kepada persepsi.

Pada pendapat, saya berbanding dengan calon-calon lain, Khairy adalah satu-satunya calon yang sering sahaja menjadi mangsa persepsi tidak baik. Malah apabila BN mencatat keputusan buruk dalam pilihan raya umum lalu pun nama Khairy dikaitkan.

Persoalannya kenapakah orang seperti Feriz hendak mengikut rentak pembangkang dalam menilai Khairy. Kenapakah perlu Khairy hanya dilihat dari sudut negatif? Kenapa tidak kita melihat banyak lagi kelebihan yang ada kepada Khairy?

Jika diperhatikan, Khairy sememangnya seorang pemimpin muda yang tidak disenangi oleh pembangkang kerana beliau dilihat begitu lantang dalam memperjuangkan nasib orang Melayu. Cadangan menambah kuota biasiswa dan sentiasa ke hadapan dalam mengetengahkan isu-isu melibatkan orang Melayu adalah kelebihan beliau.

Pembangkang sememangnya mengharapkan karier politik pemimpin seperti Khairy berakhir dan cara terbaik ialah memastikan beliau tewas dalam pemilihan Pemuda bulan depan. Oleh itu dalam keadaan UMNO memerlukan pemimpin yang berwibawa dan mampu menarik generasi muda menyokong parti itu, Khairy adalah pilihannya.

Ingin ditegaskan, pandangan saya ini bukanlah bermaksud saya penyokong setia Khairy malah saya tidak menyokong mana-mana calon. Cuma sebagai orang Melayu, saya sentiasa mengkaji setiap tindak tanduk pemimpin UMNO dan mahu pemilihan pemimpin UMNO dilakukan melalui pemikiran yang terbuka dan bukannya berasaskan kepada persepsi.

Kita harus lihat langkah Khairy yang mencadangkan semua calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua bersemuka bagi membincangkan pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau serta bersedia untuk berkhidmat dengan UMNO biarpun tewas dalam pemilihan parti nanti sebagai jiwa besar seorang pemimpin muda.

Janganlah kerana persepsi kita akhirnya mengorbankan mereka yang dilihat pemimpin masa depan UMNO. Kita seharusnya tidak terperangkap dengan hujah dangkal soal sudah diberi peluang atau tidak, hakikatnya ketiga-tiga calon masih belum berpeluang menjadi Ketua Pemuda.

Oleh itu penilaian sebaik-baiknya perlu dilakukan, kenapa perlu Khairy seolah-olah dihukum dan terus diburukkan sedangkan beliau masih belum diberi peluang menjadi pemimpin nombor satu Pemuda?

Apakah kita hendak mengajar rakyat negara ini terus berpolitik melalui pendekatan persepsi semata-mata?

Justeru adalah lebih wajar jika kita menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan Pemuda untuk menentukannya. Kita percaya mereka lebih arif untuk membuat keputusan yang berasaskan kepada fakta dan realiti, bukannya persepsi seperti mana dilakukan oleh Feriz.
Berilah peluang kepada Khairy mengetengahkan visi dan misinya. Jika beliau gagal, ahli-ahli Pemuda sudah pasti tahu apa yang patut mereka lakukan dalam pemilihan akan datang.

ZULKARNAIN BAKAR
Sungai Petani, Kedah

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment:

Fahrain Mohamed said...

Aku dah tengok blog Feriz kat www.ferizomar.blogspot.com. Memang Feriz Omar ini teror orangnya. Bukan calang2 manusia. Tulisannya terkehadapan, tepat dan setiap kali di luar jangkauan pemikiran mana-mana Pemuda UMNO malahan Menteri-Menteri Melayu yang bijak pandai. Kalau tak, takkanlah Muhyiddin ambil dia sebagai Pegawai Khas.

Dengarnya juga dia diasuh Muhyiddin sejak berumur 16 tahun semasa Muhyiddin menjadi MB Johor. Dia anak orang susah tetapi serba tangkas dan mantap. Yang bezanya dengan pemimpin Pemuda UMNO mahupun PAS dan PKR, dia sentiasa yakin bahawa Allah sentiasa patut didahulukan. Bukan satu, dua malah semua tulisannya tepat pada ramalan.

Material yang digunakan dijadikan bahan bahas bukan sahaja oleh pemimpin pembangkang malah pemimpin BN di parlimen. Aku tengok profail Feriz memang gempak.

Pernah sahabat-sahabat kita yang berada di dalam Pemuda UMNO lebih awal dari kita, mereka kata dulu Feriz berdebat dengan KJ dalam suatu acara anjuran Sekretariat Melayu Muda. KJ akur dengan fakta malah tinggi nilai bahasa Feriz dalam Melayu mahupun Inggeris. Dengarnya juga Feriz ini yang akauntan bertauliah ini dilatih khas oleh Tan Sri Rashid Hussain dalam perbankan pelaburan dalam entiti perbankan untuk berhadapan dengan bank-bank Yahudi atas kebolehan luar biasanya berbahasa Peranchis dan Cina dan juga pakar runding yang kental.

Seawal umur 26 tahun, dialah yang membesarkan empayar Perkumpulan RHB dan mulakan penggabungan bank-bank untuk Tan Sri Rashid sebelum Kerajaan Malaysia mengeluarkan arahan agar semua bank bergabung.

Orang macam Feriz ini perlu digunakan untuk bangsa dan agama kita.