Thursday, February 19, 2009

Hisham: BerSETIAKAWANlah semua - Malaysiakini

Dato' Seri Hishammuddin telah menyarankan kesemua calon bagi jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda UMNO untuk BerSETIAKAWAN, tak kira menang atau kalah, selepas 25 Mac ini. 

Molek sungguh saranan tersebut kerana dengan SETIAKAWAN, barulah perpaduan utuh dan pengisian bermakna dapat dibuat bersama. 

Sokong Ketua Pemuda baru - Hishammuddin


HISHAMMUDDIN Tun Hussein berganding tangan bersama Mukhriz Tun Mahathir (dua dari kanan), Khairy Jamaludin (tiga dari kiri) dan Mohd. Khir Toyo (dua dari kiri) selepas mesyuarat ringkas dengan tiga calon Ketua Pemuda di Menara UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Semua ahli dan pemimpin Pemuda khususnya calon yang kalah pada pemilihan UMNO bulan depan diingatkan supaya memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada ketua mereka yang baru.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mesej itu amat penting kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan rakyat hilang hormat kepada UMNO.

Sehubungan itu beliau berkata, semua pihak terutama mereka yang bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO perlu sedar bahawa kepentingan parti perlu diutamakan lebih-lebih lagi ketika Barisan Nasional (BN) bakal berhadapan dengan pilihan raya kecil di Perak dan Kedah.

''Kita harus sedar, tidak guna kita memegang jawatan dalam parti tetapi parti tidak dihormati. Sebab itu sesiapa yang memegang Pemuda selepas saya, penting bagi pemimpin ini mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

''Tidak lama lagi kita akan berhadapan dengan dua pilihan raya kecil iaitu sehari selepas pemilihan parti. Kita perlu buktikan komitmen kita, persepakatan kita dalam usaha untuk memenangkan BN di kedua-dua kawasan ,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat ringkas dengan tiga calon Ketua Pergerakan Pemuda yang akan bertanding iaitu Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Pemuda bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Hishammuddin juga yakin bahawa semua calon Ketua Pemuda mempunyai keikhlasan dan kesepakatan untuk memacu Pemuda ke arah kedudukan yang lebih mantap sesuai dengan peranannya sebagai sayap utama parti.

Berhubung persiapan Pemuda bagi menghadapi dua pilihan raya kecil itu, Hishammuddin berkata, jarak yang terlalu hampir antara pemilihan parti dan pilihan raya kecil tidak akan menjejaskan jentera Pemuda.

''Kita telah menggerakkan jentera pilihan raya mulai sekarang dan saya sendiri bersama tiga calon Ketua Pemuda dan dua calon Naib Ketua Pemuda akan bersama-sama membantu mereka.

''Untuk peringkat permulaan saya dan semua calon yang bertanding akan mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Pemuda Bahagian di Perak dan Kedah.

''Ia bertujuan untuk kita mempersiapkan diri menghadapi dua pilihan raya kecil itu. Saya juga telah meminta kepada calon Ketua Pemuda yang terpilih supaya mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Perak dan Kedah bagi memudahkan kerja-kerja persiapan pilihan raya dijalankan,'' ujarnya

No comments: