Monday, January 26, 2009

Ucapan Tahun Baru Cina dari KJ - Malaysiakini

Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tiong Hua, khususnya, dan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, amnya.
Semoga kedatangan Tahun Lembu ini akan membawa kejayaan serta kesejahteraan kepada semua di samping menguatkan azam dan usaha kita, serta lebih "bullish", bekerja dan bersatu hati menjana ekonomi serta perpaduan rakyat negara kita ini.
Sungguhpun demikian, tahun 2009 adalah tahun yang mencabar bagi ekonomi negara dan dunia di mana hampir 60 peratus daripada negara dunia mengalami kemelesetan ekonomi, termasuklah tiga negara destinasi eksport utama kita iaitu Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun yang mewakili 37.6 peratus atau RM232.2 billion daripada jumlah eksport terkumpul negara bagi bulan Januari hingga November 2008. Sebagai sebuah negara terbuka yang mana jumlah eksport dan import antarabangsanya pada 2007 mewakili 111 peratus daripada GDP, sudah pastinya kita tidak dapat mengelak daripada impak kemelesetan ekonomi dunia.
Namun, kita harus ingat bahawa formula kekuatan ekonomi kita berpaksi dan bertunjangkan kepada kekuatan dalaman ekonomi atau permintaan domestik. Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar di Tahun Lembu ini kita semua dapat terus berbelanja dan melabur secara berhemah dan menaruh kepercayaan terhadap kekuatan ekonomi kita supaya ia secara langsung dan tidak langsung dapat merancakkan aktiviti ekonomi negara.
GONG XI FA CHAI

No comments: