Friday, December 12, 2008

PEMUDA UNTUK PEMUDA


Well itulah dianya peranan Pemuda UMNO, bahawa ia mewakili sayap golongan muda parti, memimpini Pemuda BN, serta representatif kepada seluruh golongan Malaysia.

 

Maka amat pentinglah bagi pemimpin Pemuda UMNO itu sezaman dan segenerasi dengan golongan atau segmen yang diwakili dan dipimpininya agar dapat ia, bukan sahaja, mendengar dan memahami, tetapi juga menjiwai, cita rasa, aspirasi, masalah, keperluan, perspektif, isu-isu serta idealisme orang muda.

 

Ada yang kata muda itu dari segi minda dan jiwanya di mana kalau minda dan jiwanya muda – maka mudalah ia. Ya, kita akui ada yang begitu, hatta ada yang sudah beruban penuh tapi masih berseluar jeans ketat. Namun hakikatnya, dan tidak dapat tidak, muda itu masih diukur relevansinya dari segi umur kerana umur itu menjadi masih proksi dan ukuran kepada mudanya seseorang itu.

 

Dalam konteks ini dan dalam persaingan Pemuda UMNO kali ini, hanya Khairy seorang sahaja yang layak bergelar sebagai pemimpin muda kerana umurnya 32 tahun dan masih relevan dalam konteks umur Pemuda UMNO yang diwartakan dalam lingkup 18 hingga 40 tahun, berbanding calon-calon lain yang berumur 44 tahun [Mukhriz] dan 43 tahun [Khir].

 

Memang diakui bahawa pengecualian umur diberi kepada Pemimpin Pemuda UMNO tetapi kita kena ambil maklum kepentingan umur yang seangkatan dengan golongan yang dipimpin agar tiada generational gap dan adultism dalam kepimpinan Pemuda yang menjurangkan lagi Pemimpin dan golongan yang dipimpinnya. Bak kata orang, orang muda ni pilihan warna dan cutting baju pun berbeza dengan orang tua.

 

Sebagai contoh kecil, dalam budaya Pemuda UMNO, perbualan lebih kepada rujukan “bro-bro” dan “ kau-aku”, kalau ada generational gap yang tinggi, pemuda di cawangan dan bahagian pun payah nak berbual dan bersama pemimpin mereka – nanti diselar kurang adap pula.

 

Juga, kita pun kena ambil maklum hasrat, falsafah dan maksud mengapa Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 menghadkan umur keahlian dan kepimpinan persatuan belia kepada umur 40 tahun.

 

Dalam hal ini, mari kita lihat kepada purata umur barisan kepimpinan Pemuda UMNO bahagian [Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda] serta perwakilan G2 yang bakal mengundi pada bulan Mac 2009 nanti.

 

[Sampel ini sangat representatif kerana mengambil jumlah sampel [or n of the population] seramai 578 daripada 797 perwakilan Pemuda atau 73 peratus daripada jumlah populasi. Begitu juga bagi KP yang meakili 79 peratus daripada jumlah KP seluruh Malaysia, sampel NKP setinggi 76 peratus dan sampel perwakilan G2 pula merangkumi 75 peratus.]

 

Daripada analisa purata umur itu tadi, kita dapati purata umur seluruh perwakilan, (merangkumi KP, NKP dan G2), adalah 36 tahun, purata bagi KP adalah 37 tahun, purata NKP pula 36 tahun dan bagi G2 pada 35 tahun.

 

Ini semua menunjukkan jurang umur atau generational gap yang ada sekiranya mereka yang terpilih sebagai Ketua Pemuda kelak adalah bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

 

Peda hemat saya, zaman Khir di Pemuda sudah berlalu dan beliau pun sudah meninggalkan Pemuda sebelum ini – zaman dan cabarannya yang lebih relevan adalah bagi jawatan Naib Presiden atau MKT. Itulah tahap dan piawai bagi beliau sebagai seorang pemimpin veteran dan berumur. Disamping itu, beliau juga tidak dilihat sebagai pemimpin yang mewakili golongan muda didalam dan apatah lagi di luar UMNO, disamping persepsi negatif terhadap tindakan oppresif kepada golongan minoriti India dengan perobohan kuil yang antara lain membawa kepada tawar hati dan tentangan masyarakat India kepada BN.

 

Manakala bagi Mukhriz pula, tiada sumbangan besar dalam peranan yang dimainkannya sebagai EXCO Pemuda, malah beliau seangkatan dan sezaman dengan Khir. Dan nawaitu perjuangannya pun hanya sekadar nak perubahan kepimpinan UMNO yang sememangnya sudah termaktub. Beliau juga tidak dilihat sebagai pemimpin berkarisma, intelek dan bertenaga bagi membawa isu-isu Pemuda, apatah lagi kepada seluruh golongan muda Malaysia. Pandangan silo beliau terhadap perbincangan polisi nasional juga tampak tertutup dan terhad sekali dengan ketidakterbukaannya terhadap Suruhanjaya Kehakiman, yang begitu disokong oleh golongan muda, serta ceteknya perkiraan beliau tentang isu sekolah vernacular yang terperlihara dalam Perlembagaan.

 

Sehubungan dengan itu, kita harap para Perwakilan dapat menilai dan menilik pemimpin mana yang molek dan representatif bagi mereka, DAN JANGAN DILUPA – kepimpinan yang relevan kepada golongan muda Malaysia. Ini kerana, Pemuda UMNO ada lebih kirang seramai 700 ribu tetapi dalam PRU13 nanti dijangka terdapat seramai 7.3 juta pengundi muda. Bagi BN yang mengalami kejatuhan undi popular dari setinggi 90.4 peratus pada 2004 ke 50.6 peratus pada 2008, pastinya sokongan pengundi muda bagi saluran peti undi 3, 4 dan ke atas menjadi kunci kemenangan mana-mana parti politik yang bertanding.

 

Jadinya, kepada seluruh perwakilan – pilihlah calon pemimpin yang relevan dan pilihlah pemimpin untuk MASA DEPAN kita bersama.

1 comment:

Anonymous said...

Thursday, December 11, 2008
Celoteh Murai 19
Syabas Khairy Jamaluddin

PETANG tadi sambil baring atas katil Murai mengikuti sidang Parlimen yang sedang membahaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pindaan 2008. Sempatlah Murai mengikuti perbahasan beberapa orang ahli Parlimen.

Dunia kini cukup canggih.. sidang Parlimen boleh diikuti sambil tidur dan di mana-mana saja. Inilah kecanggihan IT yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Makanya sesiapa yang mengabaikan IT akan ketinggalan dan mundur seperti saleitia di bawah tempurung.

Perbahasan itu disiarkan menerusi web tvpas.com. Banyak faedah dan gunanya siaran tv ini membei laporan penuh kepada peminat Parlimen. Webtv ini lebih baik dan bebas daripada RTM yang menyiarkan persidangan berkenaan. RTM hanya siar 20 minit sahaja sebalik web tv ini menyiarkan dari mula sidang jam 10:00 pagi hinggalah sidang ditangguhkan pada setiap hari.

Terima kasih Murai ucapkan kepada webtvPas dan pengendalinya yang rajin atas inisiatif menyediakan siaran langsung ini. Semoga pihak ahli Parlimen Pas akan menambah elaun mereka.

Perbahasan mengenai Auku memang dijangka hangat. Akta ini sama hebat dan sama popular dengan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau ISA dianggap musuh kepada rakyat Malaysia yang rindukan kebebasan, Auku pula dianggap rantai besi kepada mahasiswa dan kakitangan akademik.

Sudah berdekad akta ini dibahas dan diperkatakan. Sudah beribu protes dan demonstrasi dilakukan untuk menghapuskan akta ini. Sudah berbelas menteri dan timbalan menteri Pendidikan atau Pelajaran bertukar ganti, namun ia tidak memberi apa-apa hasil. (Terima kasihlah kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohd Khalid Nordin kerana peka dan berani membuat pindaan). Kerajaan tetap mempertahankan akta ini sebagai relevan atas maslahat kebaikan seperti mana ISA. Bagaimana pun mereka yang terhalang dan terkena merasakan ia zalim dan tidak adil. Menganggap akta berkenaan mengongkong, memandul, memondan dan berbagai me... lagi terhadap mahasiswa dan tenaga akademik.

Antara beberapa ahli Parlimen yang membahaskan pindaan Auku ini ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Ada sesuatu yang menarik dan menyerlahkan realiti sebenarnya tentang politik dan perjuangan Khairy di sini. Ternyata menantu PM ini lain daripada ahli BN yang lain dan mempunyai pandangan politik yang bebas dan bersikap gentleman. Beliau benar-benar rasional, berani dan sedia bertanggunjawab.

Tidak salah kalau Murai katakan, inilah watak, peribadi, bakat dan minda (cara berfikir) yang diperlukan oleh Pemuda Umno untuk memimpin sayap kanan parti itu.

Betapa tidak, tadi Khairy memberi pandangan yang akademi dan berbahas secara profesional berhubung dunia pendidikan. Khairy mempunyai pandangan jauh dan tidak terikat dengan tradisi dan pemikiran sesetengah pemimpin partinya yang kolot dan primitif. Beliau juga mempunyai maklumat terhadap apa yang beliau ingin perkatakan.

Dan paling mengejutkan Murai ialah apabila beliau menyatakan persetujuannya kalau mahasiswa dibebaskan dari ikatan Auku itu. Dalam erti kata lain beliau mahu mahasiswa berkecimpungan dalam politik dan berikan ruang sepenuhnya untuk mahasiswa terlibat dalam politik. Mahasiswa katanya tidak perlu disekat dengan akta itu. Realiti hari ini bahawa politik berlaku dalam kampus walaupun ada Auku.

Katanya kerajaan tidak perlu takut kepada penglibatan mahasiswa dalam politik. Hadapilah secara profesional dan secara terbuka. Alasannya mahasiswa sudah matang dan dapat berfikir dan menilai baik buruk dan tidak wajar ianya disekat. Beliau sendiri sanggup turun padang bagi menghadapi fenomena itu. BN tidak perlu bimbang katanya.

Jarang ahli BN yang berfikir dan bersikap terbuka macam Khairy. Pendebat lain dari BN masing-masing beselidung disebalik bayangan ketakutan yang dangkal dalam mempertahankan akta berkenaan agar ianya dikekalkan dengan pindaan yang dianggap lebih ketat itu. Kebanyakan mereka juga berdebat untuk menjaga kedudukan dan periuk nasi yang berlagak sokong membawa rebah.

Syabas Murai ucapkan kepada Khary atas keterbukaan dan rasional beliau dalam melihat isu yang membelit mahasiswa itu. Seharusnya wakil rakyat BN yang sudah tua, 'mamba' dan kehabisan idea patut belajar dan berkursus pencambahan minda dengan menantu PM ini.

Melihat kehabatan itu maka wajarlah kalau Mahathir takut dan bimbang kepada Khairy kerana penampilannya boleh menenggelamkan kehadiran anaknya Mukhriz Mahathir. Sekali lagi syabas untuk Khairy.

Murai: Mengikat diri dengan hukum hakam.
http://msomelayu.blogspot.com/