Monday, December 22, 2008

Malaysiakini - Khairy Jamaluddin vs Husam Musa – Bermulanya Satu Pembaharuan Berani


Ketibaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Balai Islam, Kota Bharu jam 9 malam tadi disambut dengan gema laungan "takbir" oleh hampir dua ribu penyokong PAS. Dewan ini dibanjiri oleh manusia setelah selesai solat Isya' dan bagi memastikan ribuan hadirin diluar dapat melihat aksi wacana ini, beberapa skrin ditempatkan di beberapa tempat strategik di sekeliling dewan.

Di dalam suasana yang begitu hangat di kubu kuat PAS ini, sebuah wacana bertajuk "Transformasi Politik Malaysia" telah selamat dilansungkan. Setelah YB Dato Husam Musa menyampaikan hujah beliau yang banyak berkisar kepada pemimpin yang berteraskan taqwa, adil dan rahmah, beliau menghuraikan falsah 5 P iaitu; Prinsip, Polisi, Perancangan, Personality dan Parti Politik. Di dalam hujahnya beliau telah banyak membidas kepimpinan Barisan Nasional, terutamanya UMNO.

Apabila tiba giliran Khairy untuk memulakan hujahnya Khairy telah menyentuh isu kontrak sosial dan bagaimana prinsip pemerintahan BN yang jujur dan bertunjangkan amanah. kejujuran. keadilan dan kesaksamaan dalam kepimpinan.

Khairy juga telah mengambil kesempatan untuk mengiktiraf forum ini sebagai satu tanda kematangan politik yang baru; sesuai dengan transformasi politik, dimana dengan adanya ruang demokrasi politik, beliau berkesempatan untuk hadir sebagai seorang panelis di dalam wacana yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri PAS.

Khairy tidak menafikan terdapat impak dalam corak politik tanahair. Namun yang demikian, Khairy beranggapan bahawa tsunami politik 8 Mac itu juga memberi kesan kepada PAS. Jika dahulu Presiden PAS merupakan Ketua pembangkang , tapi sekarang PAS wujud di Dewan Rakyat wujud sebagai junior partner dibawah Ketua Pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat.

Dalam mengulas tuduhan Dato Husam Musa atas keangkuhan politik yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional, Khairy menyentuh tentang keangkuhan politik yang dipamerkan oleh Ketua Pembangkang Dato' Sri Anwar Ibrahim dalam menjanjikan pertukaran Kerajaan Pusat pada tanggal 16 September 2008. Tarikh ini merupakan satu janji yang tidak dapat dikotakan

Khairy menyemarkkan sokongan kumpulan kecil Pemuda UMNO yang turut hadir apabila beliau menyatakan bahawa Pakatan Rakyat belum diuji. Tegas beliau, percanggahan ideologi yang cukup besar wujud dalam Pakatan Rakyat sekarang. Begitu banyak isu yang menemui kebuntuan termasuk soal islam, kontrak sosial, hak orang Melayu, Bumiputera, Negara Islam dan lain-lain. Bak kata pepatah, bagai retak menanti belah.

Khairy juga mengundang para hadirin untuk menyelami realiti transformasi politik. Beliau mengajukan persoalan samaada hakikat 8 Mac itu disebabkan undi rakyat (undi positif) atau undi protes. Jika undi protes bermakna ia bukan transformasi politik. Dalam mengakui kemungkinan di negeri Kelantan, undi yang diberikan oleh PAS undi positif, di negeri lain keputusan ini mungkin disebabkan oleh undi protes. Beliau menyatakan keyakinan bahawa pada tahun 2013, insya – Allah BN akan kembali di tampuk pemerintahan.

Beliau juga menggariskan permulaan Reformasi dasar Barisan Nasional seperti penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah, Suruhanjaya Kehakiman dan pemindaan AUKU sebagai langkah permulaan positif yang dapat menguntungkan rakyat.

Di dalam sesi moderator pula Khairy menjawab beberapa tomahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada parti UMNO oleh Dato Husam Musa dan Professor Aziz Bari. Laporan politik wang yang begitu banyak di dalam musim pemilihan ini menunjukkan bahawa pemimpin UMNO serius dalam memastikan perubahan di dalam UMNO.

Beliau juga membidas sikap tidak adil dalam pemerintahan yang ditunjukkan oleh sesetengah negeri di bawah Pakatan Rakyat. Ulas beliau, ketika Menteri dan Menteri Besar UMNO diheret kedalam makhamah, mereka diminta berehat dan tumpu kepada usaha untuk mebela nama mereka, namun dua ahli EXCO negeri Perak dibenarkan untuk meneruskan tugas mereka walaupun dibelenggu dengan tuduhan yang begitu serius. Khairy juga menyentuh tentang laporan pertelingkahan di dalam PAS; dimana kumpulan Pro Anwar dan PAS tulen dilihat bertembung.

Khairy juga telah menyarakan kepentingan untuk UMNO dan PAS berdialog dan berbahas mengenai beberapa isu penting seperti perlembagaan, bahasa, agama, ISA, dan sebagainya demi kepentingan kaum. Beliau memberi contoh persetujuan Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehuddin Ayub untuk mengadakan sesi untuk membincangkan ISA sebagai satu permulaan sesi dialog demi kepentingan bersama ini.

Dalam wacana ini, apa yang amat mendukacitakan ialah profesionalisme panelis ketiga, Profesor Aziz Bari dari UIA menjadi tajuk perbincangan di akalangan para hadirin. Sebagai wakil golongn akademik, beliau seharusnya memberi hujah berdasarkan statisitik dan kajian dan bukannya memberi ceramah politik yang berat kepada satu pihak.

Dato Husam Musa pula tidak menunjukkan kematangan yang layak bagi kepimpinan tertinggi PAS apabila beliau tidak menjawab soalan samaada dari moderator mahupun para hadirin dan sebaliknya lebih tertumpu kepada serangan peribadi, politik dalaman UMNO dan politik PAS. Apa yang memeranjatkan para hadirin ialah apabila Dato Husam "melenting" dan mengajak kumpulan kecil Pemuda UMNO untuk berdebat dengan beliau apabila mereka meminta jawapan kepada persoalan yang telah diajukan.

Sidang akhbar yang dihadiri oleh Khairy Jamaluddin dan Dato Husam Musa jelas menunjukkan ketegangan dan tekanan yang dirasai oleh Dato' Husam.

Kesimpulannya, ramai yang berpendapat kemenangan politik malam ini terletak pada bahu Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ini kerana bukan sahaja beliau telah mengambil risiko yang begitu tinggi di dalam jangkamasa pemilihan UMNO ini untuk beradu tenaga dengan Naib Presiden PAS di kubu kuat PAS, malah beliau telah berjaya menangkis forum yang berat sebelah disebabkan oleh hujah Profesor Aziz yang berbau politik pembangkang.

Apa yang penting, wacana ini telah membuka ruangan demokrasi politik baru untuk generasi muda sekaligus memberi harapan baru untuk politik di Malaysia. Inilah pembaharuan berani yang menjangkau ungkapan, kata-kata dan slogan semata-mata.


Sumber 
KULITPISANG.COM





No comments: