Friday, December 19, 2008

Dari Parlimen: Sessi Perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008



Tuan Yang di-Pertua: Rembau.

12.40 tgh.
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih atas peluang untuk turut menyertai perbahasan kepada akta yang bernama Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008. Saya melihat usaha kerajaan untuk membentangkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM ini sebagai satu usaha pelengkap untuk membanteras rasuah dan rasuah ini sudah pun menjadi masalah yang melibatkan semua seluruh lapisan masyarakat di Malaysia dan bukannya satu hanya tugas dan tanggungjawab kerajaan dan juga SPRM. Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana SPRM ini dimodelkan ataupun direka dan ditubuhkan berdasarkan kepada amalan terbaik best practices di seluruh dunia termasuk daripada ICAC di Hong Kong, ICAC di New South Wales dan lain-lain.

Saya harap dengan adanya SPRM ini yang mana dimodelkan ataupun diasaskan kepada amalan terbaik daripada negara-negara yang lain yang mana sudah pun ada suruhanjaya yang bebas, yang berkualiti, berintegriti, yang berkesan, saya harap SPRM ini akan menjalankan tugasnya dengan baik.

Tuan Yang di-Pertua, saya melihat strategi pencegahan rasuah ini bukan hanya terhad kepada SPRM, bukan hanya terhadap kepada usaha ini untuk membawa rang undang-undang yang baru. Contohnya dlm tempoh masa yang terkini, ada pelbagai strategi yang dijalankan dan kalau kita tidak bangkitkan dalam Dewan ini maka kita tidak nampak bahawa SPRM ini sebenarnya adalah satu usaha pelengkap, satu complementary dengan izin effort untuk kita banteras rasuah.

Contohnya kerajaan dengan kesungguhannya telah menggubal satu Pelan Integriti Nasional yang berjaya meningkatkan kesedaran awam terhadap masalah rasuah sampai pula kita tiba di masa ini dibentangkan dan ada banyak perbahasan. Bukan hanya di Dewan ini, tetapi di surat khabar, di media massa dan sebagainya tentang masalah rasuah yang berdasarkan kepada pelan integriti ataupun PIN tersebut. Yang keduanya adalah penubuhan institut integriti nasional dan ini penting di mana ini telah memberi peluang kepada kajian dan analisa tentang strategi-strategi membanteras rasuah dikongsi bersama dengan semua lapisan masyarakat termasuk NGO, parti-parti politik, dan juga sektor swasta seperti mana yang dibangkitkan tadi.

Yang ketiga adalah penubuhan PEMUDAH yang mana statistik daripada PEMUDAH tadi itu
dibangkitkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat dan PEMUDAH ini peting bukan hanya dari segi hasil kajian mereka untuk mendapat kesan rasuah terhadap perkhidmatan awam, tetapi juga berjaya mengurangkan kerenah birokrasi yang dapat menghapuskan discretely power dengan izin ataupun kuasa budi bicara yang boleh menimbulkan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah danPEMUDAH ini secara langsung juga telah melakukan satu proses perekayasaan ataupun reengineering, proses perkhidmatan awam di mana banyak proses perkhidmatan awam yang sebelum ini berisiko tinggi untuk menggalakkan gejala rasuah ini dapat dihapuskan.

Jadi kita harus melihat juga dalam konteks PEMUDAH bagaimana PEMUDAH ini boleh
dibacakan seiring dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah ini. Yang keempat adalah penubuhan akademi pencegah rasuah. Kalau kita ada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia SPRM ini, tetapi kita tidak ada capacity building. Kita tidak ada satu peningkatan dari segi keupayaan. Pegawaipegawai kerajaan dan sudah tentunya pegawai SPRM untuk melaksanakan tugas, menjalankan tugas buat siasatan dan sebagainya, maka convention rate ataupun kejayaan kita untuk mendapat dan membanteras gejala rasuah ini tidak akan meningkat dan dalam hal ini saya harap bahawa SPRM ini akan bekerjasama dengan akademi pencegah rasuah yang menjadi salah satu pusat rujukan di rantau Asia Tenggarauntuk meningkatkan keupayaan kita khususnya dalam bidang-bidang baru seperti forensik, accounting, dan juga pendedahan yang berdasarkan kepada teknologi maklumat.


Kalau kita tengok hari ini memang canggih cara bagaimana kita hendak menggelakkan rasuah dan sebagainya dan kita perlu kepada satu kapasiti building pembinaan keupayaan yang lebih tinggi lagi kalau kita hendak pastikan bahawa SPRM ini berjaya pada masa yang akan datang. Itu dari segi strategi-strategi yang boleh dikatakan pencegahan ataupun pendidikan, education. Strategi punitif pula yang mana berhubung kait rapat dengan SPRM ini ataupun strategi tindakan dan hukuman. Kita melihat bahawa sejak kebelakangan ini dakwaan juga meningkat termasuk ke atas Jemaah Menteri, ke atas pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ke atas tokoh-tokoh ternama dalam sektor swasta dan sebagainya dan kita melihat tempoh masa 2003-2007 ini sudah ada peningkatan dari segi kadar penangkapan BPR yang meningkat sebanyak 74% dan ini menunjukkan bahawa strategi punitif ini juga telah berjaya dalam tempoh masa yang sama dan kita harap dalam SPRM ini strategi ataupun penangkapan dan kadar conviction ini dapat kita tingkatkan lagi keupayaan yang diberi kepada SPRM.

Justeru saya hendak sebutkan di sini bahawa SPRM ini adalah satu langkah tambahan langkah pelengkap untuk memastikan bahawa segala usaha selama ini diinstitusikan. Kalau sebelum ini kita ada usaha yang dilahirkan melalui iltizam politik dan sebagainya, kita melihat pada hari ini, kita bahaskan satu langkah yang boleh diinstitusikan segala usaha untuk membanteras rasuah dan saya juga rasa begitu gembira bahawa rang undang-undang ini juga diiktiraf oleh pegawai tinggi ICAC Hong Kong sebagai suruhanjaya yang begitu menyeluruh dari segi kuasa dari segi skop dan juga dari segi memperluaskan tafsiran rasuah sampai ada seorang bekas hakim semalam dalam surat khabar telah mengatakan bahawa kuasa yang diberikan kepada SPRM ini terlalu besar dan terlalu banyak.

Tambah pula dengan penambahan kakitangan seperti mana yang disebutkan oleh Menteri tadi yang sekali ganda membesarkan SPRM Malaysia ini, skim perkhidmatan yang menarik untuk profesional dan pelantikan Ketua Suruhanjaya yang terbuka dan tidak terikat ataupun terhad kepada anggota pentadbiran awam, ini memberi satu kekuatan untuk menarik profesional yang bukan hanya berintegriti tinggi, tetapi berkemahiran tinggi untuk turut serta dalam SPRM. Kita tidak mahu apabila kakitangan suruhanjaya ini ditingkatkan sampai 5,000 kita tidak mahu kuantiti tetapi tidak kualiti dilihat sebagai satu ukuran penting bagi kakitangan tersebut. Saya rasa bahawa dengan ini kita akan dapat meningkatkan lagi conviction rate ataupun kadar pendakwaan dan penghukuman dari segi rasuah dan kebimbangan yang dibangkitkan sering kali oleh pihak pembangkang dan juga kerajaan mengenai conviction rate ini saya rasa dapat kita mengatasi dan menangani melalui satu memperkasa atau satu usaha untuk memperkasakan SPRM ini melalui peruntukan yang lebih besar, kakitangan yang lebih ramai lagi dan juga kualiti pegawai-pegawai yang lebih tinggi lagi.

Saya harap dengan penubuhan suruhanjaya ini juga kita dapat meningkatkan kedudukan kita
dari segi ranking kita dalam transparency international, corruption, perception index. Saya cuma ingin perbetulkan sedikit ataupun perjelaskan sedikit. Ini adalah indeks antarabangsa yang berhubung kait dengan perception, berhubung kait dengan tanggapan dan tidak menggambarkan sebenarnya apa yang sebenarnya berlaku di mana-mana negara. Tadi contohnya dibangkitkan oleh Yang Amat Berhormat Bagan yang mengatakan bahawa kedudukan Malaysia telah jatuh daripada 37 sampai 47, tetapi apabila kita lihat dari segi indeks kita, indeks kita dahulu 5.2, turun kepada 5.1 sahaja.

Maknanya kekurangan itu adalah 0.1 dari segi perception indeks dan mana angka yang lebih tinggi itu mengatakan bahawa itu adalah lebih baik dari segi usaha untuk mencegah rasuah. Dan dalam tempoh masa yang sama di mana kita jatuh daripada 37 sampai 47 ini, ataupun tahun 2003 makna kita di tangga 27 hanya 133 negara masuk dalam corruption index transparency international pada tahun 2007, apabila kita duduk tangga 47, sampul tersebut telah dibesarkan sebanyak 47 buahnegara sampailah 180 negara. Bukan saya hendak cari alasan dari segi kita hendak cari alasan dari segi kita hendak turun dari segi perception indeks ini, tetapi saya hendak bagi gambaran sebenar bahawa sebenarnya hakikat yang lebih teliti daripada apa yang disampai tadi oleh Yang Amat Berhormat Bagan. Tuan Yang di-Pertua, saya pergi pula kepada isu yang berada di hadapan kita iaitu SPRM ini sendiri dan saya ingin mengucapkan tahniah kerana buat kali pertama saya rasa sudah ada satu sistem check and balance, satu system accountability yang hendak menguatkan lagi yang dapat memperkasakan lagi SPRM dibandingkan dengan badan pencegah rasuah yang wujud selama ini.


Contohnya buat kali pertama individu, rakyat jelata NGO Ahli Parlimen mengambil ada peranan dari segala over sight dari segi memberi pemantauan terhadap SPRM ataupun badan-badan pencegah rasuah melalui Lembaga Penasihat dan juga Jawatankuasa Khas Rasuah.

Lembaga penasihat ini saya harap daripada pihak kerajaan akan diwakili, akan dianggotai oleh mereka-mereka yang berintegriti tinggi dan berpengalaman dalam masalah-masalah rasuah ini. Jawatankuasa khas ini juga adalah satu elemen yang memberi scrutiny daripada Parlimen, scrutiny daripada pihak perundangan yang sebelum ini tidak pernah diberi. Tambahan pula dengan laporan tahunan SPRM dan juga Jawatankuasa Khas Rasuah dibentang dalam Parlimen, memudahkan kerja kita untuk membahaskan isu-isu, kes-kes rasuah yang sebelum ini tidak pernah diberi peluang secara teliti untuk dibahaskan satu laporan yang keluar daripada Badan Pencegah Rasuah.

Jadi ini adalah satu pembaharuan yang cukup penting, yang cukup landmark bagi dengan izin bagi saya untuk sama-sama kita menghayati dan sama-sama kita sokong. Cuma Lembaga Penasihat ini kalau boleh saya cadangkan dapatkan juga nasihat mungkin bukan sebagai anggota kerana mungkin ini adalah satu cadangan yang terlalu luar biasa tetapi Lembaga Penasihat ini dan juga SPRM ini mendapat nasihat daripada individu-individu yang dulu yang pernah dihukum atas gejala rasuah yang mana sudah bertaubat. Bak kata pepatah Inggeris, “it takes a thief to catch a thief”.

Jadi dengan izin kalau kita boleh kita minta pengalaman bagi mereka yang sudah ada pengalaman, yang sudah bertaubat untuk cari bagaimana cara dapat kita tangkap ataupun dapat kita cari penyelewengan rasuah dan juga penyalahgunaan kuasa kerana sudah tentunya cara bagaimana hendak mengelak ini sudah jadi lebih canggih dan lebih sophisticated daripada dahulu. Kita juga membaca dalam surat khabar bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah sebut bahawa satu panel kajian ataupun kaji semula operasi untuk mengkaji operasi dan Jawatankuasa Aduan telah ditubuhkan yang dapat menjaga dan mengawal dari segi penyalahgunaan kuasa.

Saya rasa ini adalah penting dan Jawatankuasa Aduan ini disebut dalam rang undangundang
ini. Operations Review Panel ini tidak disebut tetapi disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam surat khabar berdasarkan kepada model yang dipakai oleh ICAC Hong Kong. Ini boleh mengelak daripada agenda peribadi itu diperjuangkan oleh mana-mana pegawai dalam SPRM ini dan ini menjadi penting kerana kita hendak melakukan keadilan bukan hanya kepada kerajaan dan juga rakyat yang mana duit itu diseleweng tetapi juga kepada tertuduh andai kata tertuduh itu salah dituduh dan ada agenda di sebalik hukuman dan tuduhan terhadap si tertuduh tersebut.

Saya juga ingin menarik perhatian kepada perkara 65(1). Saya melihat bahawa ini adalah satu peruntukan yang penting untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dan juga maklumat tetapi saya melihat di sini, saya hendak tanya Menteri untuk jawab kemudian, sama ada perkara ini cukup untuk memberi perlindungan kepada saksi? Di sini saya sedikit sebanyak bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bagan tadi di mana kita perlu kepada satu akta yang khusus, yang separate dengan izin iaitu Akta Perlindungan Saksi yang mana saya rasa ini perlu bukan hanya dari segi perlindungan identiti mereka dalam peruntukan 65 ini, tetapi juga langkah-langkah yang boleh menjamin keselamatan kepada saksi-saksi ataupun pemberi maklumat dalam kes-kes rasuah.

Kadang kalanya kes-kes rasuah ini melibatkan tokoh-tokoh yang besar ataupun juga tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan underworld dan sebagainya. Sudah tentunya kita perlu kepada satu jaminan, satu comfort dengan izin kepada saksi dan juga kepada pemberi maklumat bahawa nyawa mereka, keselamatan mereka terjaga dan tidak diancam. Saya harap bahawa untuk melengkapkan SPRM ini, kerajaan akan pertimbangkan usaha untuk menggubal secara secepat mungkin satu dasar perlindungan saksi ataupun satu dasar Whistle blower Act seperti mana satu ketika dahulu dijanjikan oleh kerajaan. Ya, Yang Berhormat Machang.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Rembau.

Untuk pertama kalinya saya bersetuju dengan Yang Berhormat Rembau dalam saranan ini. Persetujuan saya itu berasaskan kepada fakta tatkala negara digemparkan dengan kes pendedahan tape VK Lingam yang sumber asalnya ialah bapa kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya. Bertahun-tahun dia pegang bukti itu tetapi dia tidak terdorong pun untuk membuat aduan kepada BPR. Dia seorang ahli perniagaan, barangkali bimbangkan identitinya terdedah, kepentingan perniagaannya boleh rosak. Itu keadaan yang berlaku, dia menunggu sehingga Yang Berhormat Permatang Pauh keluar daripada penjara dan kemudian menyerah kepada Yang Berhormat Permatang Pauh.

Tatkala Yang Berhormat Permatang Pauh kemudiannya membuat aduan dengan ditemani oleh peguamnya Yang Berhormat Subang ke pejabat BPR, reaksi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu ialah terang-terangan mempertikaikan keaslian tape tersebut. Pada masa yang sama amaran demi amaran diberikan oleh BPR ke atas Yang Berhormat Permatang Pauh dan Subang. Kelihatannya yang membuat aduan itu yang menjadi tarikan BPR untuk memulakan siasatan, bukan mesej yang dilaporkan. Atas fakta itu saya fikir, saya bersetuju dengan saranan Yang Berhormat Rembau agar barangkali tidak sempat dimasukkan dalam akta ini tetapi ianya boleh juga dijadikan satu lagi akta atau bill pelengkap kepada menterjemahkan lagi kekuatan bill ini. Saya mohon pandangan.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Yang Berhormat Machang.

Saya lebih cenderung untuk menyokong agar satu akta spesifik, khusus digubal dalam hal perlindungan saksi dan juga Whistleblowers dan tidak perlu dimasukkan dalam ini, peruntukan sudah ada, 65. Akan tetapi selepas ini perlulah kita ada satu perlindungan saksi bukan hanya dalam konteks pencegah rasuah tetapi perlindungan saksi ini dalam konteks kes jenayah, dalam kes jenayah komersial dan sebagainya dan lebih menyeluruh daripada perlindungan saksi dalam kes-kes rasuah sahaja.

Dalam kes pita VK Lingam itu saya tidak tahulah, mungkin ada satu timbal balas politik daripada Yang Berhormat Permatang Pauh dengan bapa Yang Berhormat Kelana Jaya, dia jadi calon untuk PKR dalam pilihan raya yang lepas, saya tidak tahulah, itu saya serah kepada pembangkang.

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak pergi pula kepada satu masalah yang boleh dikatakan masalah pokok di sini yang mana dibangkitkan beberapa kali tadi iaitu kebebasan SPRM ini.

Ada yang saya nampak bahawa pembangkang sokong hari ini cuma sokongan itu bersyarat, bersyarat mengatakan bahawa tidak cukup kebebasan dan sebagainya. Saya hendak katakan di sini bahawa mungkin pada pengamatan, pandangan pembangkang, Ahli-ahli Pembangkang, SPRM ini tidak cukup power ataupun tidak cukup kuasa dan kebebasan diberi kepada SPRM. Akan tetapi saya rasa bahawa ini adalah langkah pertama yang begitu penting, tak pernah diberi over side daripada Parlimen, tidak pernah diberi kuasa pemantauan daripada Parlimen, tidak pernah diberi kuasa mengawal dari segi laporan dan sebagainya yang perlu dibentangkan dalam Parlimen.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: [Bangun]

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Yang Berhormat Machang ada lagi?
Setuju lagi kah tidak?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Pilih untuk berbeza pendapat.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Sila.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya nampak kadang-kadang kekaguman yang berlebihan Yang Berhormat Rembau suarakan ke atas akta ini seolah-olah ini suatu yang baru, seolah-olah inilah satu rang undang-undang yang memperlihatkan kuasa luar biasa. Kekaguman itu saya fikir agak tidak bertempat. Alasan saya, saya memetik pandangan Tan Sri Harun Hashim, bekas Ketua Pengarah dan pengasas BPR. Ini teks asalnya, ini saya petik daripada buku biografi Tun Dr. Ismail, ada satu chapter tentang rasuah sahaja.

Dia sebut, “Pada tahun 1967, apabila saya dilantik untuk menubuhkan BPR oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Beliau memberikan saya sepenuh kebebasan untuk membendung rasuah daripada berleluasa dalam negara. Saya dibenarkan untuk memilih pegawai untuk badan itu daripada kalangan anggota pentadbiran awam dan polis bersama peruntukan yang tidak terhad daripada Kementerian Kewangan. Tidak ada campur tangan daripada kerajaan dalam urusan BPR, peguam negara sekalipun tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan pendakwaan kes-kes rasuah”.

Sekurang-kurangnya dalam soal memilih anggota pentadbiran, itu sebut jelas, sudah ada pun
kelulusan sekian-sekian ratus pegawai yang boleh direkrut apabila diluluskan. Akan tetapi dalam soal peruntukan tambahan, dalam soal tidak ada campur tangan termasuk peguam negara sekali pun, yang ini ayat akhir Tan Sri Harun Hashim disebut, “Berasaskan kepada undang-undang rasuah sedia ada, kelihatannya BPR boleh dikatakan tidak ada kuasa langsung dari segi undang-undang”. Itu pandangannya.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Sebelum Yang Berhormat Rembau respons, ini komen saya balik.

Hujah Yang Berhormat Machang itu seharusnya dibawa sebagai satu hujah apabila beliau berucap nanti dan diberi peluang oleh sesiapa nanti oleh duduk pada sebelah tengah hari. Itu maksud saya dalam soal 37(1)(b) iaitu dalam minta penjelasan, jangan masukkan pendapat baru yang menimbulkan perbahasan kerana itu maksudnya bukan lagi pencelahan minta kesamaran diperjelaskan daripada yang sedang berucap. Itu maknanya mahu berdialog membantah sesuatu yang menimbulkan perbahasan. Hujah seperti itu elok dibawa sewaktu nanti diberi peluang untuk berbahas, baru didengar cantik.

Kalau macam begini saya benarkan, tidak kita akan habis. Seorang yang berucap umpamanya tadi Yang Berhormat Muar, dicelah oleh sembilan orang. Kalau dalam pencelahan itu dan jawapan lima minit seorang sudah berapa puluh minit. Jadi itu yang tidak menimbulkan keadilan kepada Ahli-ahli yang ingin berucap untuk berhujah. Yang Berhormat Rembau nanti kalau boleh sebelah tengah hari nanti respons kepada perkara yang dibangkitkan. Saya minta kerjasama sekali lagi dalam soal pencelahan untuk minta penjelasan di bawah 37(1)(b), ingat itu untuk menjimatkan masa.

Ahli-ahli Yang Berhormat, kita tangguhkan mesyuarat sehingga jam 2.30 petang ini.

Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.01 petang.

Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Ya, Yang Berhormat Menteri ada usul.

USUL
WAKTU MESYUARAT DAN URUSAN
DIBEBASKAN DARIPADA PERATURAN MESYUARAT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]:
Tuan Yang di-Pertua, saya memohon mencadangkan:

Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1) Majlis Mesyuarat pada hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga jam 11.30 malam ini. Selepas itu, Majlis Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, hari Selasa, 16 Disember 2008.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi [Dato’ Joseph Salang anak Gandum]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah usul seperti yang dikemukakan tadi hendaklah disetujukan.

Masalah dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan.

Yang Berhormat Rembau. Ringkaskan Yang Berhormat.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Walaupun Ahli Yang Berhormat Machang tidak hadir, saya ingin menjawab sedikit celahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Machang tadi. Yang Berhormat Machang telah mengatakan bahawa dahulu semasa Allahyarham Tan Sri Harun Hashim bertugas sebagai Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah tidak perlu ada suruhanjaya, tidak perlu ada pindaan Perlembagaan ataupun pindaan undang-undang dan sebagainya, tetapi beliau telah menjalankan tugas tanpa, without fear or favour secara berkecuali dek kerana ada jaminan peribadi daripada pemimpin dan juga Perdana Menteri pada waktu itu.

Yang Berhormat Machang telah mengatakan bahawa ini menunjukkan bahawa sebenarnya yang perlu ada di sini bukan suruhanjaya baru, tetapi satu iltizam politik. Cuma saya ingin menjawab, mengatakan bahawa itu masa Allahyarham Tan Sri Harun Hashim adalah satu jaminan peribadi, that’s no guarantee daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada waktu itu. Apakah keadaan di mana Perdana Menteri tidak memberi jaminan bahawa tidak ada campur tangan politik dalam perjalanan Badan Pencegah Rasuah.

We cannot live it to the virtues of man dengan izin. Kita tidak boleh bergantung semata-mata
kepada kebaikan manusia untuk memastikan bahawa suruhanjaya dan juga Badan Pencegah Rasuah ini menjalankan tugas tanpa campur tangan politik.

Kita perlu kepada satu usaha untuk menginstitusikan kekuatan dan juga kuasa yang diberi kepada suruhanjaya seperti mana yang ada dalam rang undang-undang ini. Jadi saya harap kita sokong bukan kerana kita mengharapkan kepada personnel guarantee ataupun jaminan peribadi mana-mana pemimpin, tetapi perkara ini diinstitusikan dalam undang-undang bahawa tidak ada sebarang campur tangan politik kerana dalam undang-undang ini kita nampak bahawa Parliamentary scrutiny pantauan daripada Parlimen, daripada perundangan, kawalan daripada perundangan itu adalah satu pembaharuan yang sebelum ini tidak ada.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin pergi kepada satu lagi isu iaitu kebebasan dari segi pendakwaan, banyak.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Hendak beri jalan?

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Sila sahabat saya.

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]:
Terima kasih Yang Berhormat Rembau. Saya hendak mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat sebab tengah hari tadi Yang Berhormat ada mengatakan bahawa Parliamentary world side ada Jawatankuasa Khas Parlimen ini untuk menjadi check and balance kepada suruhanjaya ini, tetapi saya memang mengakui bahawa kita menyokong Jawatankuasa Khas ini ditubuhkan dalam fasal 14, tetapi sayangnya dalam fasal ini ia tidak menyebut bahawa keanggotaan Ahli-ahli Jawatankuasa Khas ini tujuh orang itu tidak melambangkan keanggotaan dalam Dewan Rakyat.

Saya berharap bahawa keanggotaan ini dapat melambangkan kepartian atau keahlian dalam Dewan Rakyat ini. Dalam perkara ini kita berharap sekurang-kurangnya dalam sidang ini, dalam penggal ini sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh ahli itu terdiri dari pembangkang, kerana saya rasa ini dapat memberikan kepercayaan kepada orang ramai bahawa Jawatankuasa Khas ini betul-betul bipartisanship untuk menjadi check and balance, adakah Yang Berhormat setuju.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Rasah. Saya setuju pada dasarnya, tetapi tidak perlulah kita bawa perkara ini masuk ke dalam akta. Ini boleh menjadi satu konvensyen. Satu konvensyen di mana keanggotaan Jawatankuasa Khas itu secara konvensyen boleh mengimbangkan ataupun melambangkan keimbangan dalam Dewan Rakyat ini dan juga dalam Dewan Negara, sebab saya juga percaya bahawa sudah tentunya kerajaan yang menggubal, yang hendak menubuhkan suruhanjaya ini tidak akan mewujudkan satu jawatankuasa yang hanya terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional kalau tidak, tidak bermakna langsung kita buat suruhanjaya ini menjadi seolah-olah satu toothless tiger. Jadi reputasi kita pun terletak dalam keanggotaan jawatankuasa tersebut. Jadi saya hendak pergi kepada kuasa pendakwaan yang mana banyak dibangkitkan tadi. Secara ideal dalam satu keadaan ideal dan ideal able, dengan izin sememangnya kita hendak melihat bahawa kuasa pendakwaan ini bebas sama ada kuasa pendakwaan ini reside ataupun terletak dalam suruhanjaya ataupun tidak kita hendak supaya kuasa pendakwaan ini adalah satu kuasa yang berkecuali, yang bebas, yang independent, yang tidak tertakluk kepada mana-mana campur tangan politik dan sebagainya.

Walau bagaimanapun apa yang terletak ataupun terkandung dalam suruhanjaya ini adalah satu perkara yang mencerminkan Perlembagaan kita, di mana kalau kita pindah kuasa pendakwaan dan ahli-ahli pembangkang pun tahu bahawa perkara ini akan menjadi ultra virus kepada Perkara 145, Perlembagaan Malaysia tetapi perkara ini sudah tentunya soalan susulannya, kenapakah kita tidak pinda Perlembagaan dan sebagainya, tetapi sudah tentunya kita pun tahu bahawa ada prinsip-prinsip pemisahan kuasa dalam hal ini, prinsip separation of powers.


Dalam hal ini kita tidak hendak yang siasat itu ada kuasa untuk mendakwa sekali kerana mereka rasa siasatan itu sudah berlangsung, sudah tentunya yang siasat itu memerlukan ataupun mempunyai satu pandangan yang datangnya daripada tanggapan orang yang siasat dan sudah tentunya kita perlu kepada satu procedure, di mana yang dakwa itu melihat kepada bukti-bukti siasatan itu secara impartial, secara berkecuali untuk buat satu pilihan sama ada untuk mendakwa ataupun tidak. Akan tetapi dalam hal ini saya cukup setuju dengan pendekatan ataupun dengan cadangan dalam rang undang-undang ini dalam perkara 5(6) yang memberi penurunan kuasa seolah-olah memberi penurunan kuasa kepada Ketua Suruhanjaya ini, melalui memberi kuasa yang sama seperti DPP ataupun Penolong Pendakwa Raya kepada Ketua Suruhanjaya.

Sekurang-kurangnya ini melambangkan bahawa dalam kes-kes tertentu contohnya, saya rasa perkara ini menimbul dalam kes apabila melibatkan pegawai-pegawai dalam kamar ataupun Peguam Negara, bahawasanya Ketua Suruhanjaya itu ada kuasa untuk buat pendakwaan, kuasa DPP untuk membuat pendakwaan dan secara amalannya saya harap bahawa penurunan kuasa ini daripada Attorney-General’s Chambers ataupun daripada Pejabat Peguam Negara dapat benar-benar reside ataupun diletakkan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini.

Maknanya tidak payahlah kalau ada satu kes walaupun tidak melibatkan pegawai-pegawai
daripada AG’s Chamber tidak payahlah dirujuk semula kepada Attorney General untuk dibuat
dakwaan. Maknanya DPP yang ditugaskan di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia ini SPRM ini boleh buat keputusan secara berkecuali tanpa dirujuk semula. Inilah sebenarnya...

Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [Silam]: Mohon penjelasan.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Ya, sahabat saya Yang Berhormat Silam.

Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [Silam]: Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Rembau. Saya hanya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Rembau iaitu berhubung dengan kuasa yang diperturunkan daripada pihak AG di peringkat contohnya di negeri Sabah ataupun Sarawak. Adakah dari segi siasatan nanti apabila mereka membuat keputusan itu akan dibuat di negeri tersebut ataupun perlu dirujuk kepada peringkat atasan. Kita mahu clarification sebab mungkin dari segi perundangan ataupun peraturan itu perlu dirujuk oleh dua-dua negeri tersebut. Terima kasih.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Boleh...

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Sila.

Tuan R. Sivarasa [Subang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Rembau kerana memberi peluang mencelah. Secara dasar saya rasa kita setuju, kita asingkan kuasa siasatan dan kuasa pendakwaan. Amalan yang disebut tadi, kalau dipraktikkan dan dihormati memang kita mengalu-alukan. Akan tetapi masalah sekarang Institusi Jabatan Peguam Negara ada satu imej yang cukup tercemar, ini hakikat. Sejak tahun 1998 sampai sekarang. Sebelum 1998 pun kita ada imej Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah mengambil cuti dengan seorang peguam bernama V.K. Lingam di Itali. Inilah imej Jabatan Peguam Negara.

Sekarang tuduhan adalah lebih serius, tuduhan terhadap Peguam Negara sekarang adalah memalsukan keterangan dan sebagainya, inilah masalahnya. Saya balik kepada rang undang-undang ini dengan pengasingan kuasa siasatan dari pendakwaan. Dalam rang undang-undang ini kita melihat tujuannya adalah untuk menubuhkan satu Badan Pencegahan Rasuah yang bebas. Ini memang amat dialu-alukan. Akan tetapi Yang Berhormat Rembau boleh saya bertanya, apabila kita melihat beberapa peruntukkan dengan kuasa siasatan, seksyen 31, 35, 38, 39, 43, 44, dan 45 ini adalah kuasa siasatan.

Search and seizure, investigation of share, seizure of immovable property, intercept communications, surrender of travel documents dan apabila kita teliti di sini kita nampak, melihat setiap kuasa ini Tuan Yang di-Pertua tidak boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya ini tanpa merujuk kepada Peguam Negara. Jadi apa maksudnya? Apakah ini tidak memberi keyakinan kepada kita bahawa kuasa siasatan itu betul-betul diasingkan. Kalau kita banding akta di Hong Kong memang diasingkan. Hanya kuasa keputusan mendakwa sahaja diserahkan. Jadi saya mintak penjelasan.

Sebab itu kita sudah cadangkan peminda dalam ini untuk memastikan betul-betul kuasa siasatan itu di dalam tangan SPRM ini dan bukan boleh dipengaruhi oleh Peguam Negara. Minta komen daripada Yang Berhormat Rembau.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Yang Berhormat Subang.

Secara ringkas pada Yang Berhormat Silam tadi saya rasa lebih baik menteri jawab soalan tersebut. Akan tetapi saya setuju dari segi semangat soalan tersebut sama ada kebebasan ataupun satu penetapan khas diberi kepada Sabah dan Sarawak sama ada keputusan didakwa itu dibuat oleh pegawai yang ada di sana ataupun yang dibawa kepada peringkat Persekutuan.

Soalan yang ditanya oleh Yang Berhormat Subang tadi, saya bersimpati terhadap pendirian yang dibuat oleh Yang Berhormat Subang bahawasanya kita hendak melihat bahawa tidak ada satu kekangan terhadap SPRM yang diletakkan melalui undang-undang ini yang mana seolah-olah ada kawalan melalui Peguam Negara, Attorney-General. Sebab itu saya hendak tarik perhatian kepada dua perkara. Pertamanya kepada penurunan kuasa yang saya sebutkan tadi ataupun devolution of power kepada SPRM. Tidak semestinya kita pisahkan sama sekali kuasa untuk pendakwaan itu keluar daripada SRPM.

Kalau kita betul-betul ada satu keadaan di mana sama ada pendakwaan ataupun sama ada
dari segi siasatan itu perkara tersebut tidak payah hendak rujuk semula kepada Attorney General tetapi kepada DPP yang ada di situ kerana sudah ada penurunan kuasa yang termaktub dalam undang-undang ini. Saya percaya tidak ada masalah. Apa salahnya kita cuba sebab dulu apabila BPR ini dianggap sebagai bebas dan sebagainya pada zaman Allahyarham Tan Sri Harun Hashim, tidak ada masalah. Ini kerana DPP yang ditugaskan di BPR itu telah diberikan kuasa penuh berkecuali dan bebas untuk melaksanakan tugas fear or favors tanpa rujuk kepada Attorney-General. Jadi saya harap kita cuba dulu sama ada penurunan kuasa, devolution of power ini benar-benar dapat dipraktikkan dan diamalkan secara bebas.

Kedua, saya percaya devolution of power ini akan berjaya sebab daripada dulu hingga sekarang kita tidak pernah ada pembaharuan dari segi over side. Over side mechanism ini cukup penting. Kalau dulu tidak ada pressure daripada badan perundangan, kali ini kita ada Parliamentary over side. Di mana mungkin akan ada Ahli-ahli Yang Berhormat daripada pembangkang turut terlibat juga dalam komuniti dalam jawatankuasa untuk memantau SPRM ini.

Jadi saya harap bahawa komuniti ini juga akan dapat mainkan peranan untuk melihat sama
ada pendakwaan itu mengikut kebebasan ataupun disekat oleh mana-mana pihak. Seterusnya yang saya hendak cadangkan di sini ialah untuk kita mungkin memperketat lagi peruntukan di sini tanpa kita buat pindaan Perlembagaan dan sebagainya.

Di ICAC Hong Kong dia ada satu jawatankuasa ataupun panel iaitu Operations Review Panel. Apabila satu dakwaan itu tidak dibuat dalam satu-satu kes, maka panel ini yang menjadi satu panel bebas boleh minta supaya Secretary for Justice, Menteri Keadilan Hong Kong review kes tersebut dan mengkaji semula kes tersebut secara terbuka. Kalau boleh kita masukkan peruntukan tersebut kalau bukan dalam undang-undang secara konvensional ataupun secara pentadbiran, administrative. Ini supaya panel tersebut wujud dan dapat kita mintak supaya kes-kes tertentu di review ataupun dikaji semula oleh sama ada DPP ataupun Peguam Negara agar kita dapat kepastian bahawa perkara tersebut dibuat atas sebab-sebab profesional ataupun atas sebab politik sepertimana yang dikhuatiri oleh pihak pembangkang.

Seterusnya sebelum saya mengakhiri, saya cuma ingin mencadangkan satu perkara iaitu dalam kuasa besar yang diberi kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia ini cukup besar kuasanya. Cuma tadi saya sebut bahawa ada jawatankuasa aduan ada review panel dan sebaginya. Akan tetapi dalaman itu sendiri kita perlu kepada satu unit barangkali Internal Affairs Unit ataupun Unit Kawalan Hal Ehwal Dalaman SPRM ini.

Jadi saya harap akan ada satu unit dalam SPRM sendiri selain daripada jawatan kuasa aduan dan sebagainya yang betul-betul akan teliti dan akan memantau gerak kerja dan juga apa sahaja prosedur yang diamalkan oleh pegawai-pegawai SPRM. Ini supaya tidak ada kepincangan dari segi siasatan dan dari segi apa sahaja kerja yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai SPRM.

Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri sekali saya hendak ucapkan tahniah kepada Kerajaan atas rang undang-undang yang cukup menyeluruh yang memberi kuasa yang cukup hebat ini kepada BPR untuk menjadikan SPRM. Cuma saya hendak ingatkan kepada rakan-rakan dalam Dewan ini dengan tubuhnya SPRM ini sahaja kita tidak akan dapat banteras rasuah. Ini kerana akhirnya kita boleh menubuhkan institusi yang telus, yang ada kuasa, yang tegas dan sebagainya.

Akan tetapi kalau kita semua tidak ada iltizam politik sepertimana yang disebut oleh pembangkang tadi, maka kita tidak akan dapat banteras masalah ini. Akhirnya kita boleh tubuh apa sahaja institusi tetapi kalau manusia, pemimpin dan sebagainya tidak ada iltizam politik. Kalau masyarakat itu sendiri tidak ada will of society untuk memastikan bahawa masalah ini dapat kita mengatasi maka perkara ini tidak akan berjaya.

Contohnya Kerajaan Negeri Perak; di mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri didakwa oleh BPR tetapi sampai hari tidak lepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri. Saya tidak nafikan prinsip innocent until proven guilty. Akan tetapi kita kena pastikan setiap daripada anggota pentadbiran kita adalah above suspicion, tidak ada syak wasangka.

Dalam kes Barisan Nasional dulu apabila ada seorang menteri yang didakwa oleh BPR, beliau lepaskan jawatan ambil cuti. Apabila seorang menteri besar yang dikenakan tindakan undang-undang berkaitan dengan rasuah diambil cuti kerana kita hendak pastikan bahawa anggota pentadbiran ini above suspicion.

Jadi janganlah mengatakan kita seolah-olah tidak ada iltizam politik memandangkan pembangkang pun sama juga. Kalau kita lihat dari segi pengisytiharan harta anggota-anggota
pentadbiran, satu janji yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga tetapi sampai hari ini tidak ada pengisytiharan harta secara terbuka, secara awam daripada anggota pentadbiran daripada kerajaan-kerajaan negeri yang dipegang oleh Pakatan Rakyat.

Jadi Yang Berhormat-Yang Berhormat yang saya hormati sekalian, Tuan Yang di-Pertua yang saya hormati sekalian, saya harap perkara ini adalah iltizam politik daripada semua pihak.

Jangan hanya salahkan satu pihak di mana pihak yang lain pun ada kekurangan and two wrongs do not make a right. Kita hendak pastikan bahawa semua pihak ada iltizam politik, dalam kes pengisytiharan harta, dalam kes Exco Negeri Perak, ini menunjukkan di sana juga tidak ada iltizam politik. Kalau kita hendak cakap tentang rasuah biarlah kita cakap dengan kita mengamalkan satu-satu dasar, satu-satu iltizam politik yang terbukti untuk pastikan bahawa kita dapat mengatasi masalah ini untuk menjadikan negara kita ini lebih maju dalam masa yang akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong, terima kasih.


No comments: