Friday, December 19, 2008

Dari Parlimen: Permatang Pauh to Rembau - "...penjelasan bagi pihak menteri"

Sumber: Hansard Dewan Rakyat [15 Disember 2008], Parlimen Malaysia


Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, apa yang saya tekan tadi ialah penggantian peruntukan ini, walaupun telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur dan lain-lain dalam cadangan supaya dibenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah diberikan kuasa pendakwaan bebas dari keputusan Peguam Negara, sepertimana yang berlaku juga dalam Anti Corruption Commercial Hong Kong yang banyak membantu kita dari dahulu dan sekarang mengemukakan undang-undang ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Rembau.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Ketua Pembangkang dan terima kasih atas membawa perhatian Dewan kepada kuasa pendakwaan sepertimana yang disebut tentang ICAC di Hong Kong. Saya hendak tarik perhatian, Ketua Pembangkang sedar ataupun tidak bahawa di Hong Kong ICAC ini sebenarnya tidak ada kuasa pendakwaan.

Saya memetik daripada website ataupun laman web ICAC dengan izin, “After completion of investigations, the power to prosecute is vested with the Secretary for Justice, and the separation of powers ensures that no case is brought to the courts solely on the judgment of the ICAC”. Itu daripada Hong Kong. Jadi apa yang disebut oleh Ketua Pembangkang tadi adalah tidak tepat bahawasanya Hong Kong ini ada kuasa pendakwaan. Akan tetapi saya hendak tarik perhatian juga kepada akta ini kepada peruntukan perkara 5(6). Di mana disebut bahawa:

“5(6) Ketua Pesuruhjaya hendaklah mempunyai segala kuasa pegawai Suruhanjaya dan hendaklah mempunyai apa-apa kuasa Timbalan Pendakwa Raya sepertimana yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya bagi maksud Akta ini”.

Jadi di sini walaupun kita tidak pisahkan soal siasatan dan juga dakwaan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, saya nampak perkara ini memberi kuasa yang istimewa bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini untuk buat satu ketetapan yang bebas daripada kes itu dihantar balik kepada Peguam Negara untuk buat keputusan. Maknanya Peguam Negara ataupun DPP yang di stesen di suruhanjaya ini barangkali dengan kuasa yang diberi ini boleh buat keputusan secara bebas tanpa dirujuk kepada Peguam Negara. Ini sedikit banyak menjawab kerisauan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang tadi. Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Rembau dari penjelasan bagi pihak menteri.

ICAC walaupun tidak ada kuasa persis pendakwaan, tidak pernah menghadapi masalah untuk semua kes yang diputuskan secara automatik didakwa. Dia merujuk kepada Chief of Justice atau Ketua Pendakwa di Hong Kong itu hanya sebagai satu proses procedural. Selama 10 tahun tidak ada kes pembantahan. Masalah di negara kita itu jauh berlainan. Sebab itu saya mengatakan, saya akui untuk penjelasan kepada apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Rembau, saya akui bahawa ada kemajuan besar dari peruntukan 1997 yang dituntut oleh Badan Pencegah Rasuah ketika itu ialah kuasa pendakwaan dengan permasalahan yang sama.

1 comment:

Mr. Padedoh said...

Hi Sedara,
Kita nak tengok apa pula cerita dari piggy singh! Strategi kita strategi Stalin menentang nazi. Draw your opponent in dan sekarang mereka dah kebuluraan modal!