Tuesday, November 11, 2008

Surat Terbuka Kepada Perwakilan G4 Pemuda UMNO Yang Dipilih

Kehadapan Ketua Pemuda Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian dan G2 Yang Dipilih, 

Assalamua’laikum Warah MatullahiWabarakatuh.

 

Pertama-tama sekali izinkan saya mengucapkan tahniah dan syabas atas perlantikan yang abang-abang serta saudara-saudara semua terima sebagai Ketua Pemuda Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian dan sebahagian dari dua wakil atau G2 Bahagian ke Perhimpunan Agong UMNO di Putra World Trade Centre pada bulan Mac tahun hadapan.

 

Sememangnya pemilihan dan perlantikan saudara-saudara semua menggambarkan keyakinan dan sokongan ahli bahagian tentang potensi, karisma, kebolehan dan wawasan yang saudara semua bawa dan ketengahkan.

 

Namun ini juga satu amanah dan menjaga amanah ini amat besar tanggungjawabnya. Penzahiran pertama bagi amanah yang didokong ini adalah untuk memilih pemimpin baru bagi Pergerakan Pemuda UMNO.

 

Sebagai mereka yang di lantik sebagai pemimpin, adalah menjadi tanggungjawab perwakilan untuk menilai dan memuhasabah calon-calon yang bertanding lebih daripada kanvas dan skrin penilaian ahli di bahagian masing-masing. Para perwakilan bagi bulan Mac nanti hendaklah melihat keperluan parti, asas dan tunjang kehidupan parti serta cabaran-cabaran semasa parti dan dari situ bertanya apakah ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki dan bertolak dari sini mencari di calon manakah ciri-ciri kepimpinan itu ada.

 

Oleh itu, di harapkan perwakilan akan bersikap matang dan well-rounded dalam menilai dan memilih pemimpin. Perwakilan tidak seharusnya memilih berdasarkan sentimen, angin kuntau, khabar angin atau emosi. Juga jangan kita memilih kerana pulangan dan habuan yang diberi atau dijanji. Perwakilan hendaklah memilih pemimpin yang boleh membawa dan memperkasa Pemuda supaya menjadi lebih relavan, lebih jitu, lebih berpadu dan lebih menambah nilai kewujudannya bukan sahaja kepada Pemuda UMNO, tetapi kepada UMNO, bangsa Melayu, Pemuda Barisan Nasional, generasi muda dan juga seluruh rakyat Malaysia.

 

Pengundian kali ini juga adalah rahsia. Undi anda adalah rahsia. Mungkin ada segelintir pihak yang terhutang budi dan terpaksa menzahirkan sokongan mereka secara terbuka pada musim pencalonan tadi, namun kali ini anda tidak akan dilihat sebagai tidak mengenang budi atau sebaga kacang lupakan kulit kerana undi adalah rahsia.

 

Oleh itu, amatlah penting untuk para perwakilan bertanya dalam-dalamnya siapakah yang paling dekat dan relevan dengan perjuangan Pemuda. Tutupkan mata dan tanyalah hati, berdesiklah firasat dan lihatlah sedalam-dalamnya.

 

Apakah ikon pemimpin yang kita mahukan nanti akan duduk berteduh di bawah pokok semasa berkempen dan lari dari berhujah dengan pembangkang samaada di Parlimen atau di gelanggang pilihanraya, atau pemimpin berpoket penuh yang membawa kejatuhan negeri yan tak pernah jatuh pada pembangkang atau anak muda berwawasan yang bijak, berani, penuh karisma dan terbukti khidmat dan pengorbanannya kepada Pemuda?

 

Saya mendoakan agar saudara-saudara semua menbuat pilihan yang bijak dan penuh amanah. Inilah beban yang saudara tanggungi dan secara penuh jujurnya, harus ditunaikan untuk masa depan agama, bangsa dan negara.

 

Wassalam.


Ahli Biasa

 

No comments: