Wednesday, November 19, 2008

Sirah UMNO

Rumah kecil perannya lima
Tempat menyalai ikan kerisi
Jangan di lupa sejarah bangsa
Takut tersadai jatinya diri



UMNO adalah parti keramat, parti yang tersemat di dalamnya sejarah perjuangan bangsa yang mahu mempertahankan maruah dan kemerdekaan dirinya.


Sejarah telah melakarkan bahawa tertubuhnya UMNO ini berkait rapat dengan kebangkitan orang Melayu di Tanah Melayu, sebagai kemuncak semangat nasionalisme menentang penjajahan British.


Pada waktu itu, berbagai tekanan, penghinaan dan ketidakadilan telah di lakukan ke atas orang Melayu, menjadikan mereka bangsa yang tersisih di tanah air sendiri. Apatah lagi dengan kuasa undang-undang dan dasar pecah dan perintah atau divide-and-rule yang di amal penjajah.


Sejak zaman pendudukan Jepun lagi telah wujud dalam pemikiran British untuk membawa satu pengaturan baru dalam pentadbiran Tanah Melayu apabila ia kembali berkuasa kelak. Unit Perancang Malaya di London memutuskan untuk menjadikan Tanah Melayu sebuah sebuah tanah jajahan British.


Pada masa negara bergelora selepas Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945 kepada kuasa-kuasa bersekutu dalam Perang Dunia Ke dua, pada masa inilah British menangguk di air keroh, menerbitkan kertas putih Malayan Union bagi membentuk satu pemerintahan yang asing kepada orang Melayu. Mengikut cadangannya, negeri-negeri Melayu yang sebelum ini ditadbirkan secara berasingan akan dicantumkan dengan Melaka dan Pulau Pinang untuk menjadi satu koloni federasi British yang bersifar unitari.


Kuasa Raja-raja Melayu diketepikan sama sekali hatta dalam soal agama Islam dan adat resam orang Melayu pun mesti dirujuk kepada Gabenor Malayan Union. Malahan, Kedudukan dan keistimewaan Melayu sebagai Bumiputera juga di abai, demi kerakusan penjajah yang nawaitunya mahu melebarkan empayar. Agen British, Harold MacMichael datang bersulit-sulit memaksa dan mengugut Raja-raja Melayu menanda tangan, menyerahkan kuasa mereka kepada British. Sayangnya, akibat tekanan yang tak henti menimpa, terpaksalah Raja menurut kata.


Dari waktu ini, orang Melayu, dari segenap lapisan merasa budi baik mereka kepada British telah di khianati. Dan, buat pertama kalinya dalam sejarah mereka bersatu dan bangkit secara besar-besaran menentang Malayan Union. Pada 28 Disember 1945, satu perhimpunan raksasa diadakan di Batu Pahat yang dihadiri oleh 10,000 orang membawa sepanduk anti Malayan Union. Ini diikuti oleh perarakan oleh 50,000 orang di Alor Setar, Kota Bharu dan lain-lain tempat bagi meluahkan kemarahan mereka pada British.


Kerana Perjanjian Malayan Union dianggap mengenepikan hak pusaka orang Melayu, kempen penentangan terhadapnya mendapat sambutan yang meluas. Orang Melayu yang dahulunya berpecah-pecah mengikut sempadan negeri dan memegang fahaman masing-masing sekarang bersedia untuk melupakan perbezaan-perbezaan mereka.


Atas sebab ancaman tergadainya maruah dan harga diri bangsa, maka apabila Malayan Union di rencana dan di beri nyawa oleh British, BERDERAULAH DARAH, BERGEMALAH SUARA DAN BERSATULAH HATI-HATI ORANG MELAYU, bangun, memberontak dan menentang sistem penjajahan politik yang di bawa British itu. Orang Melayu yang pada ketika itu tidak berpadu umpama ranting-ranting yang capah merebak, di tiup angin rangupnya patah TELAH berubah dan bersatu, menjadi batang kayu cengal yang sebesar pemeluk - ditolak tidak tumbang, di tarik tidak ia menempang. Ketika itu, KITA BERSATU, DENGANberlangsungnya Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946; DENGAN perhimpunan raksaksa menenentangan Malayan Union di hari pengisytiharannya pada 1 April 1946, DAN DENGAN persidangan Kongres Melayu Ke Dua di Istana Balai Besar, Johor pada 11 dan 12 Mei 1946, yang mana dengan rasminya menetapkan pemasyhuran kelahiran UMNO, parti politik terulung tanahair – PARTI KITA


Sejarah selanjutnya merakamkan kejayaan UMNO memansuhkan Malayan Union sebagai tanah jajahan British bagi digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyatukan sembilan buah Negeri Melayu dan dua buah negeri Selat, di bawah satu pentadbiran. Kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera dikembalikan dan hak-hak sah orang bukan Melayu dijamin.

Inilah antara rentetan sejarah parti ini, parti anda dan parti kita semua. Bahawa, keringat peluh, air mata dan darah warisan pejuang bangsa hendaklah kita ingat dan fahami bersama.

No comments: