Tuesday, November 25, 2008

Sessi Soal Jawab Parlimen 29 Oktober 2008: Memperkasakan Surau


Soalan No 9. Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menambah peruntukan untuk memperkasa dan membaik pulih surau-surau terutama yang sudah usang dan tidak mempunyai kemudahan asas yang sempurna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi]: Tuan Yang di-Pertua, pembinaan dan pembangunan sesebuah surau adalah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. Selaras dengan kedudukan agama yang terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

Bagaimanapun, pada kebiasaannya pembinaan dan membaik pulih surau-surau adalah dibiayai oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri, Pusat Pungutan Zakat ataupun Institusi Baitulmal. Malah masyarakat Islam setempat, dermawan dan wang sumbangan orang ramai juga turut menyumbang dalam pembinaan dan pembangunan sesebuah surau berkenaan.

Kerajaan menyedari walaupun pihak berkuasa agama negeri dan umat Islam secara sukarela telah membantu pembinaan surau-surau tetapi masih juga terdapat surau yang tidak mempunyai kemudahan asas yang sempurna. Dalam mengatasi surau-surau ini, kerajaan bercadang untuk mengadakan beberapa permohonan, perbincangan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM bagi menimbang peruntukan yang sesuai.

Namun, dari segi usaha untuk memperkasakan pengisian surau-surau berkenaan pihak kerajaan melalui JAKIM ada menyedia peruntukan untuk mengimarahkan surau-surau melalui program pendidikan iaitu kelas-kelas KAFA dan kelas-kelas Ta’mir yang dijalankan di surau-surau seluruh negara.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan tadi. Soalan saya adalah mengenai surau-surau yang terbiar dan tadi Yang Berhormat Menteri telah menyatakan tentang kelas-kelas KAFA dan sebagainya. Akan tetapi,
realitinya kita harus mengakui bahawa golongan belia memang kurang kehadiran mereka di surau-surau. Yang pertama, apakah perancangan kerajaan untuk menyediakan programprogram untuk membantu dalam ini?

Yang keduanya, mengenai surau-surau yang terbiar ini, saya hendak mencadangkan kepada menteri agar Kerajaan Persekutuan mengadakan satu bancian bersama dengan kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan, untuk betul-betul melihat kepada surau-surau yang terbiar dan surau-surau yang memerlukan kepada kemudahan asas yang lebih kukuh lagi.

Tanpa bancian ini kita tidak tahu sejauh mana surau-surau yang terbiar ini dapat dikembalikan dan dapat dipulih dengan sempurna. Terima kasih.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Habis Yang Berhormat Jerlun.

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Tuan Yang di-Pertua, saya lihat terdapat trend yang agak meningkat terhadap kehadiran orang-orang muda ke surau-surau dan masjid. Ini mungkin disebabkan oleh kesedaran terhadap agama itu telah meningkat, di samping kelas-kelas Ta’mir yang dilakukan serta usaha-usaha dakwah yang telah berjalan serta melata begitu baik sekali. Namun demikian, tidak ada satu kaji selidik yang dilakukan terhadap jumlah sebenar surau-surau yang terbiar. Namun usaha telah dilakukan dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan Majlis Agama Islam negeri-negeri serta Pusat Pungutan Zakat untuk melakukan satu tinjauan secara menyeluruh dan terperinci terhadap surau-surau yang terbiar.

Oleh sebab permasalahan masjid dan surau ini terletak sepenuhnya kepada kerajaan negeri maka tidak mustahil JAKIM mengadakan kerjasama yang erat dengan semua Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri kerana usaha untuk melakukan pengimarahan pada agama Islam bukan pertanggungjawaban hanya pihak kerajaan tetapi para ulama, ahli-ahli politik dan seluruh pemacu-pemacu dalam organisasi dan institusi agama keseluruhannya. Insya-Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Mahfuz kata: Habis YB Jerlun... keh keh kelakar. Sure malu Jerlun, tapi .... alamak kira orait la sebab dia rupanya ponteng hari tu.

Mat Alok Setak