Wednesday, November 19, 2008

Lima M Kekuatan UMNO

Apa dan di manakah kekuatan Melayu dan UMNO? Untuk itu saya teringat kepada soalan yang ditanya kepada P. Ramlee di dalam filem Nujum Pak Belalang tentang di manakah kekuatan Hang Tuah? Di kerisnyakah? Di tengkoloknya kah, di silatnyakah?… dimana?

Samalah juga dengan Melayu dan UMNO? Di manakah kekuatannya? Kalau kita eja secara jawi, Melayu ini, ejaannya – mim, lam, alif, ya, wau – Melayu. Jadinya, jawapan saya kekuatan Melayu adalah pada huruf mim itu, kerana kalau tidak kerana mim, Melayu jadi - Layu… Lembik.

Samalah juga dengan UMNO, iaitu U, M, N dan O. Kalau tidak ada huruf M maka jadi UNO atau satu, yakni sendiri, terasing dan keseorangan… Lemahlah tu.

Jadi apakah signifikasi mim atau M ini? Ia bukan M untuk Melodi, yang ramai dok tengok hari Ahad nak tau pasal sensasi celebriti atau Marka, bagi yang masih mencari-cari atau mahu tambah lagi.

Tetapi, bagi saya, ia bermaksud lima mim atau lima M iaitu Maruah, Merdeka, Malik, Muslim dan akhirnya Ma’akul.

M yang pertama adalah Maruah, Melayu itu bermaruah, punyai harga dan kehormatan diri dan jangan ia dicabar atau dicela maruahnya. Apabila Maruahnya dipijak dan di cela, sepertimana lakaran sejarah Malayan Union: maka bersatu dan bangunlah Bangsa Melayu, berdiri tegak bersatu menentang dan mempertahankan Maruah dan martabat Bangsa.

M yang kedua adalah Merdeka. Melayu ini merdeka orangnya dan tidak ia menjadi hamba, apatah lagi di tanahnya sendiri. Atas semangat dan jatidiri merdeka ini lah yang mencetus kelahiran gagasan Perikatan, hasil satuhati dan setiakawan kita dengan MCA dan MIC, bagi menuntut kemerdekaan tanahair. Tapi merdekanya Melayu itu bukan sekadar retorik atau kosong, kenalah ada pengisiannya. Maka oleh itu, Dasar Ekonomi Baru di gubal bagi memerdekakan orang Melayu dari tampuk dan belenggu kemiskinan dengan memberi peluang dan membina kapasiti diri untuk dapat sama bersaing dan menjana pendapatan dan membina negara. Untuk kita merdeka, kita juga mestilah tahu merdeka dari segi apa dan daripada penjajahan apa… Inilah persoalan penting yang kita harus tanya pada diri dan Bangsa.


M yang ketiga adalah Malik, yang bermaksud Pemerintah ,yakni Raja atau Sultan. Melayu ini lengkap susur galur institusi sosialnya dan penuh berdaulat dengan beraja dan bersultan. Malah, nadi dan denyut jantung UMNO ini bukan sahaja untuk membela dan membangun bangsa namun juga mendaulat dan mentakhtakan raja. Jangan ada yang mencerca dan melecehkan institusi raja, kerana atas seruan ini jugalah UMNO di tubuhkan dan Ketuanan Melayu di daulatkan. Yang mana, Ketuanan Melayu ini memberi maksud betapa Raja dan Sultan, bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga bagi semua rakyat, tak kira apa agama atau bangsa, yang berpijak dan menghirup nafas di bumi nyata Malaysia ini. Oleh itu, apabila ramai yang bertanya dan berdebat mengenai Ketuanan Melayu ini, kita bimbang dan gusar dengan mereka yang tersasar dan bersangka jahat dengan makna yang tersurat dan tersirat dari frasa Ketuanan Melayu ini. Untuk itu, amatlah penting untuk UMNO mencerna penjelasan dan mempertahankan nawaitu, semangat dan institusi Ketuanan Melayu ini. Kita lihat KJ lah calon yang paling berkebolehan dalam sektor ini.

M yang ke empat adalah Muslim, bahawa dengan menjadi Muslim, yakni beragama Islam, mengajar kita supaya berakhlak dan berhemah mulia. Juga, atas faktor inilah melengkapkan definasi Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka atas sebab itulah, ahli UMNO, mempunyai tanggung jawab dan amanah bagi memastikan tempat dan kemuliaan Agama Islam di negara ini terus terjamin dan tidak tergadai.


M yang terakhir adalah Ma’akul. Saya rasa mungkin yang tertanya-tanya apakah maksud Ma’akul. Untuk itu, Kamus Dewan memberri definisinya sebagai masuk akal atau berdasarkan fikiran. Maksudnya di sini adalah Melayu ini berasas dan berkiblat ilmu dan akal. Bahawa tingginya makam seseorang itu berdasarkan luas dan dalam penguasaan ilmunya. Dan atas sebab itulah, pendidikan dan penguasaan ilmu amat penting dalam pembangunan bangsa.

Seruan ini pun terbukti, kalau kita amati lagu yang dinyanyikan oleh para ibu semasa membuaikan anak yang berbunyi
.
Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Pandai baca kitab
..
Namun pencapaian akademik dan keilmuan kita masih tertinggal di belakang. Kalau dilihat barisan penerima ijazah di universiti-universiti tempatan , amat kecil bilangan anak Bangsa Melayu bagi lulusan Kelas Pertama dan Kedua Atas tapi besar jumlahnya bagi tahap kelulusan bawah seperti Kedua Bawah dan Ketiga. Ini menunjukkan bahawa kita mesti menterjemahkan iltizam dan kepercayaan kita tentang ketinggian dan kepentingan ilmu itu kepada tahap pencapaian yang konkrit dan bermakna.
.
Itulah dia lima mim atau M yang bagi saya menjadi tunjang kekuatan UMNO, bangsa Melayu, iatu Maruah, Merdeka, Malik, Muslim dan akhirnya Ma’akul.

No comments: